Pada awal bulan yang lalu, Samsung telah menunjukkan reka bentuk telefon 5G termurah mereka iaitu Samsung Galaxy A42 5G dan menyatakan bahawa peranti ini bakal hadir dengan skrin AMOLED 6.6 inci.
Pada hari ini pula, Samsung telah menunjukkan spesifikasi Galaxy A42 5G ini secara penuh dengan sebuah gambar yang berbentuk infografik.

Galaxy A42 5G ini dilihat hadir dengan skrin beresolusi HD+ sahaja dan ianya adalah jenis Super AMOLED. Pada bahagian belakang, ia hadir dengan kamera utama 48MP, kamera ultra lebar 8MP, lensa makro 5MP dan sensor kedalaman 5MP. Manakala untuk kamera swafoto pula, ia hadir dengan sebuah kamera 20MP.
Telefon ini menggunakan cipset tidak bernama yang berteras lapan (dua 2.2GHz + enam 1.8GHz). Berdasarkan konfigurasi teras ini, ianya berkemungkinan besar menggunakan Snapdragon 750G, sama seperti yang ada pada Xiaomi Mi 10T Lite.
Galaxy A42 5G ini menggunakan bateri 5,000 mAh dengan cas pantas 15W. Bilangan RAM yang ditawarkan adalah setinggi 8GB dengan storan 128GB dan telefon ini akan menggunakan sensor cap jari dalam skrin untuk sekuritinya.
Ia akan ditawarkan dengan 3 warna iaitu Prism Dot Black, Prism Dot White dan Prism Dot Gray. Untuk harga pula, ia dijangka akan dijual pada tanda harga yang lebih rendah dari Galaxy A51 5G.
Adakah anda berminat untuk membeli peranti ini sekiranya ia memasuki pasaran Malaysia? Kongsikan pandangan anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







