Pengkhabar berita telefon pintar Max Weinbach telah mengeluarkan senarai telefon Samsung yang mungkin akan dilancarkan pada tahun 2021. Ini termasuklah siri Galaxy S21 dan Galaxy Fold yang seterusnya, namun beliau tidak menyenaraikan Galaxy Note yang baru.
Galaxy S21 mungkin akan terdiri daripada tiga varian yang boleh dijangkakan iaitu S21, S21 Plus, S21 Ultra dan S21 Fan Edition. Telefon lipat juga dijangka akan mendapat model baru iaitu Galaxy Z Fold3 dan Galaxy Z Flip3. Apa yang menarik di sini adalah kehadiran Galaxy Z Fold FE dalam senarai ini, yang mungkin menunjukkan bahawa Samsung akan menghasilkan telefon lipat yang lebih mampu milik.
Walau bagaimanapun, siri Galaxy Note tiada dalam senarai yang diberikan oleh Max. Sebelum ini terdapat laporan mengatakan bahawa Samsung merancang untuk menghentikan siri telefon flagship tersebut bermula 2021, manakala aksesori stilus S Pen yang terdapat dalam Galaxy Note akan dipindahkan kepada siri Galaxy S21 dan Galaxy Fold. Max turut mengatakan bahawa semua telefon yang disenaraikan olehnya bakal menyokong fungsi S Pen.
Perlu diingat bahawa ini bukanlah berita rasmi daripada Samsung, namun maklumat yang disediakan oleh Max Weinbach selalunya boleh dipercayai. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






