Google Malaysia hari ini meraikan kegemilangan penghibur terkenal dalam industri hiburan tanah air, Salmah binti Ismail, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Saloma. Jika anda layari enjin carian Google sekarang, logo Google akan dihiasi dengan sebuah watak kartun melambangkan beliau. Ini adalah sempena mengenang tarikh 26 November 1978 apabila beliau diiktiraf sebagai Biduanita Negara pertama oleh kerajaan Malaysia.
Beliau telah banyak menyumbang jasa yang penting kepada industri hiburan Malaysia dan Singapura, dengan menghasilkan lebih daripada 500 lagu serta berlakon dalam puluhan filem sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada April 1983. Beliau juga terkenal dengan perkahwinannya bersama seniman negara P Ramlee sejak 1961.
Bagi menyambut kegemilangan suara Saloma, Google Malaysia telah membuat senarai lagu khas di YouTube dengan lagu-lagu beliau yang paling popular seperti Bila Larut Malam, Di Manakan Ku Cari Ganti, Selamat Pengantin Baru dan sebagainya. Google turut mengadakan kuiz trivia di Twitter di mana peserta berpeluang memenangi sehelai baju T Doodle Saloma edisi terhad.
Beritahu kami di Facebook jika anda adalah peminat tegar Saloma dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Blog rasmi Google Malaysia







