Samsung telah melancarkan telefon pintar lipat pertama Galaxy Fold pada 2019, kemudian pada 2020 pula telah melancarkan dua telefon lipat iaitu Galaxy Z Flip dan Galaxy Z Fold2. Kini terdapat berita mengatakan Samsung akan melancarkan tiga telefon lipat pula pada tahun 2021.
Menurut firma pengkaji teknologi OLED, UBI Research, Samsung sedang menyediakan tiga jenis skrin lipat OLED yang menunjukkan bahawa syarikat Korea Selatan itu akan melancarkan tiga telefon lipat. Telefon-telefon tersebut mungkin adalah Galaxy Z Flip 2, Galaxy Z Fold3 dan model baru, Galaxy Z Fold Lite.
Galaxy Z Flip 2 mungkin akan dilengkapi skrin utama 6.7 inci dan skrin luaran 3 inci, iaitu lebih besar daripada skrin luaran Galaxy Z Flip. Untuk Galaxy Z Fold3 pula, ia mungkin akan dilengkapi skrin utama 7 inci dan skrin luaran 4 inci iaitu lebih kecil daripada skrin luaran Fold2 yang berukuran 6.2 inci.
Galaxy Z Fold Lite pula menampilkan saiz skrin yang sama dengan Fold3 namun dilengkapi spesifikasi yang lebih rendah. Satu lagi perkara baru dalam Fold3 adalah sokongan untuk stilus, jadi Samsung sedang mengkaji kemungkinan untuk menghasilkan gelas ultra-nipis (UTG) dengan ketebalan 60-100 mikrometer. Ini adalah lebih tebal daripada ketebalan 30 mikrometer dalam telefon lipat Samsung yang dilancar pada tahun ini.
Perlu diingati bahawa Samsung masih belum mengeluarkan maklumat rasmi tentang telefon lipat seterusnya. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The ELEC, UBI Research







