Anda pasti sudah menjadi warganet yang setia mencari maklumat melalui laman berita digital dan sebagainya. Artikel yang terlalu panjang kadang-kala membuatkan kita tidak ingin membacanya sehingga perenggan akhir. Facebook kini dilapor merancang untuk mewujudkan alat TLDR (alat untuk meringkaskan penulisan) agar anda dapat membaca ringkasan keseluruhan artikel.
Perkara ini dilapor telah disuarakan pada mesyuarat tahunan oleh Mark Zuckerberg melalui rakaman audio yang disebar oleh pekerja Facebook. Menurut sumber, audio yang dirakam menyatakan bahawa Facebook sedang membangunkan alat pembantu kecerdasan buatan (AI) di bawah nama kod TLDR.
Alat ini berupaya untuk meringkaskan artikel dalam bentuk poin sahaja, sekaligus memudahkan pembacaan anda. Bukan itu sahaja, ia juga mungkin dilengkapi penyampaian audio untuk membacakan artikel kepada anda.
Selain itu, syarikat ini juga dilapor sedang mengusahakan teknologi AI yang boleh berlatih sendiri untuk mengesan maklumat palsu dan ucapan berunsur kebencian. Setakat ini, jurucakap Facebook Liz Bourgeouis tidak memberi apa-apa maklum balas mengenai perkara ini.
Adakah alat ini bakal menyenangkan anda atau sebenarnya lebih menyumbang kepada golongan malas membaca? Kongsikan pandangan anda bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BuzzFeed News






