Baru-baru ini, laman Twitter telah dibanjiri pengguna yang memuat naik perkongsian gambar lama beranimasi. Kebanjiran perkongsian ini berpunca daripada teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan sesebuah gambar dianimasikan.
Sekali imbas, mungkin anda boleh melepaskan rindu kepada orang yang sudah tiada dengan melihat gambar lama beranimasi dan bergerak. Teknologi AI yang diberi nama Deep Nostalgia ini menggunakan lesen AI dari D-ID untuk menghasilkan kesan gambar kelihatan seperti bergerak (seperti foto Live dalam iPhone).
Untuk mencubanya, anda boleh ke pautan My Heritage, daftar secara percuma dan muat naik gambar yang ingin ‘dihidupkan’. Anda mempunyai tempoh percubaan sebanyak 5 kali untuk menggunakan fungsi ini, selebihnya anda perlu membayar caj tertentu.
Menurut laman tersebut, pihaknya tidak akan mengongsikan gambar yang dimuat naik kepada mana-mana pihak ketiga. Fungsi AI Deep Nostalgia dari My Heritage ini hanya mampu menghidupkan wajah sahaja, bukan tubuh badan.
Sudahkah anda mencubanya? Kongsikan bersama kami di laman Facebook atau Twitter dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Verge
Gambar dari Astro Awani







