Ciri sekuriti merupakan aspek penting di mana-mana peranti sama ada untuk aplikasi atau perisian. Terkini, Facebook telah menambah ciri sekuriti penyahihan dua-faktor (two-factor authentication), khususnya kunci fizikal untuk aplikasi Facebook di peranti mudah alih.
Untuk pengetahuan anda, ciri ini bukanlah ciri yang baharu hadir memandangkan ia sudah sedia ada sejak tahun 2017, tetapi hanya untuk Facebook di komputer sahaja. Pengguna iOS dan Android kini boleh menggunakan ciri penyahihan dua-faktor untuk mengetatkan keselamatan akaun anda.
Cara penyahihan dua-faktor yang biasa kita lihat adalah melalui kod OTP atau kod yang terpapar pada peranti mudah alih anda. Kod bernombor ini biasanya dihasilkan oleh sistem pihak ketiga. Jika anda menggunakan kunci fizikal terbaru ini, anda boleh meningkatkan tahap keselamatan akaun.

Antara kunci fizikal yang anda boleh pilih adalah melalui sambungan NFC, Bluetooth atau USB. Ini bermakna akaun anda agak susah untuk digodam kerana kunci fizikal hanya terdapat pada anda dan ia tidak melibatkan mana-mana pihak ketiga. Anda boleh melihat maklumat lanjut mengenai penyahihan dua-faktor kunci fizikal di pautan ini.
Sudahkah anda mengaktifkan kaedah penyahihan dua-faktor melalui kunci fizikal? Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Facebook






