Terkini, seorang lelaki ditahan kerana telah menyiarkan filem tanpa keizinan pemilik hak cipta di aplikasi Telegram. Untuk pengetahuan anda, lelaki berusia 45 tahun ini disyaki bersalah di bawah Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987.
Menurut Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam, lelaki ini ditahan melalui serbuan oleh penguatkuasa yang disertai pemilik hak cipta setelah suspek dirisik selama dua minggu terlebih dahulu.
Beberapa barangan telekomunikasi suspek turut dirampas oleh KPDNHEP. Jika disabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP turut menggesa orang ramai agar tidak berkongsi atau mengedarkan mana-mana karya hak cipta termasuk filem, lagu, buku digital dan sebagainya di mana-mana platform internet termasuklah media sosial tanpa kebenaran pemilik hak cipta.
Pengguna juga boleh melaporkan maklumat atau mana-mana kegiatan cetak rompak kepada KPDNHEP melalui talian 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau WhatsApp di talian 019-279 4317 atau di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my. Kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Harian Metro






