Sehingga kini, terdapat banyak khabar angin mengenai tablet generasi baru Xiaomi Mi Pad 5. Butiran penuh mengenainya telah pun tertiris di dalam talian namun tarikh pelancarannya masih lagi belum diketahui. Terbaru, Xiaomi telah memuat naik sebuah poster mengesahkan tarikh pelancaran tablet baru mereka.
Melihat kepada poster tersebut, Xiaomi memberitahu bahwa mereka juga turut akan melancarkan Mi Pad 5 pada 10 Ogos ini bersama telefon pintar Mi MIX 4. Poster tersebut juga memberi petanda bahawa mereka akan memperkenalkan stilus Xiaomi Smart Pen.

Sebelum ini, Xiaomi Smart Pen telah dikesan di pensijilan FCC dengan nombor model M2107K81PC. Spesifikasinya masih kekal misteri kecuali sokongan Bluetooth 5.0.
Untuk tablet Mi Pad 5 pula, ia dikhabarkan akan hadir dengan tiga model berbeza. Model asas mungkin menggunakan skrin 2K dan menyokong kadar segar semula 120Hz. Ia akan dikuasai oleh cipset Snapdragon 860 dan dilengkapi kamera utama 12MP, sensor cap jari sisi dan pengecasan pantas 33W.
Model yang kedua pula dijangka hadir dengan skrin 11 inci 2K dengan kadar segar semula 120Hz bersama cipset Snapdragon 870. Ia mungkin dilengkapi kamera 48MP, bateri 8,720mAh dan menyokong pengecasan pantas 67W. Untuk model ketiga, ia akan mempunyai spesifikasi yang sama dengan model kedua namun menyokong jaringan 5G.
Pada acara pelancaran ini, selain telefon pintar dan tablet, Xiaomi juga bakal melancarkan beberapa produk termasuklah pembesar suara, televisyen dan lebih lagi.
Nantikan berita lanjut mengenai produk baru Xiaomi di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber : Gizmochina







