Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Apple telah menekankan ciri pengurusan kesihatan yang terdapat pada peranti pintarnya seperti pengesan ECG, pengesan kejatuhan dan pengukuran oksigen dalam darah. Penganalisis Apple terkenal, Ming-Chi Kuo telah mengulas mengenai ciri pengurusan kesihatan untuk AirPods dan siri Apple Watch 8 yang akan datang.
Beliau berpendapat bahawa permintaan terhadap Apple Watch pada tahun 2022 akan tinggi kerana syarikat itu sedang memberi penekanan dalam faktor dan ciri pengurusan kesihatan terutama pengesan tahap suhu badan.
Secara tidak langsung, Apple Watch akan datang boleh dikategorikan sebagai termometer yang terletak pada pergelangan tangan. Bloomberg juga melaporkan bahawa Apple Watch pada tahun 2022 bakal menampilkan sensor suhu badan.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook dalam wawancaranya pada tahun lalu mengatakan bahawa Apple Watch yang ada pada hari ini adalah dalam peringkat permulaan sebelum menambahkan beberapa sensor lain. Hal ini kerana beliau percaya bahawa badan manusia mempunyai banyak sensor untuk dibaca.
Tambahan, Kuo mengatakan bahawa AirPods akan datang mempunyai sistem yang selari dengan Apple Watch untuk menyediakan fungsi pengurusan kesihatan yang lebih baik. Namun, perkara itu masih belum disahkan.
Pada Mei lalu, muncul laporan bahawa AirPods generasi akan datang bakal miliki teknologi untuk mengesan nadi jantung, jumlah langkah dan tahap kesihatan. Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizmochina






