Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan rakyat supaya berwaspada dengan sebuah pautan laman web tular, di mana ia menyamar sebagai Petronas dan menganjurkan sebuah cabutan bertuah palsu. Pautan itu dipercayai akan membawa pengguna ke sebuah laman web phishing yang mencuri data peribadi daripada sesiapa yang melawatnya.
Menurut pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, laman web itu disebarkan melalui aplikasi pemesejan popular WhatsApp. Apabila seseorang klik pada laman web tersebut, beliau akan diminta untuk menjawab empat soalan tinjauan dan berkongsi pautan itu kepada 20 orang kenalannya.
Petronas menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan penganjur cabutan bertuah palsu ini. Laman web itu dibina oleh pihak scammer tidak bertanggungjawab yang ingin mencuri data peribadi orang lain.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Datuk Mohd Kamarudin mengingatkan rakyat untuk tidak melayari laman web tersebut. Ini bukan sahaja bagi mengelakkan kecurian data peribadi, malah laman web itu mungkin mempunyai perisian malware atau trojan yang boleh menyerap masuk ke dalam komputer rakyat dan mengakibatkan kerosakan atau pengintipan.
TechNave berharap para pembaca akan kekal berwaspada terhadap taktik scammer yang semakin pelbagai pada waktu ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA






