Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan e-mel palsu yang menggunakan profil para pemimpin negara, ketua organisasi atau syarikat. E-emel ini biasanya mempunyai kandungan yang memberikan arahan di luar daripada kebiasaan.
Sebarang komunikasi yang luar daripada kebiasaan harus disemak kesahihannya dan tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak. Tindakan ini harus diambil bagi mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa kepada aktiviti berniat jahat dan berunsur penipuan.
Selain itu, penyebaran kandungan palsu juga adalah satu jenayah yang boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
SKMM memberikan peringatan ini selepas agensi itu menerima pelbagai aduan berkenaan e-mel yang tidak dapat ditentukan kesahihannya dan telah disebarkan melalui internet.
Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan terhdapat sebarang kandungan internet yang mencurigakan dan tidak menyebarkannya. Jika sebuah kandungan e-mel sudah dikenal pasti bahawa ia tidak benar, laporkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga penyedia perkhidmatan e-mel seperti Gmail atau Yahoo! Mail.
Kami berharap para pembaca akan terus berwaspada dengan kandungan palsu di internet. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: SKMM







