Xiaomi mempunyai peranti yang cukup banyak pada persidangan MWC tahun ini selain pelancaran global untuk telefon siri Xiaomi 13. Menariknya, Xiaomi mempamerkan sepasang cermin mata realiti tambahan (AR) iaitu Xiaomi Wireless AR Glass yang berkonsepkan cermin mata pintar tanpa wayar.
Peranti ini akan bersambung dengan telefon atau mana-mana peranti dan menawarkan pengalaman AR tanpa sebarang wayar serta dongle. Cermin mata AR Xiaomi tidak mempunyai storan terbina dalam jadi ia perlu disambungkan ke peranti utama untuk berfungsi.

Cermin mata ini menampilkan dua skrin Micro OLED dengan modul prisma panduan cahaya bentuk bebas yang menghasilkan imej. Ia mempunyai kecerahan puncak sehingga 1200 nits dan turut menggabungkan tiga modul kamera yang digunakan untuk memetakan dunia sekeliling pengguna.
AR Glass mempunyai kanta elektrokromik dengan mod tenggelam (immersed)Â untuk pengalaman lengkap dalam ruang maya dan mod lutsinar membolehkan pengguna melihat objek pada persekitaran mereka. Ia juga mempunyai struktur aloi magnesium-litium dengan unsur gentian karbon dan berat 126 gram.
Sama seperti Meta Quest Pro, Xiaomi Wireless AR Glass menampilkan cipset Qualcomm Snapdragon XR2+ Gen 1 dan menyokong platform pembangun Snapdragon Spaces XR. Xiaomi juga membangunkan kawalan AR Gerak Isyarat sendiri dengan pengesanan ruang untuk kawalan dan operasi yang tepat.
Kependaman pada set kepala adalah serendah 50ms dengan telefon pintar berpasangan yang didakwa Xiaomi adalah setanding dengan kependaman yang anda jangkakan daripada set kepala AR/VR tradisional yang disambungkan melalui kabel.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Xiaomi Wireless AR Glass Discovery Edition dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Xiaomi













