Tesla telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mengimport kenderaan elektriknya ke Malaysia. Perkara itu didedahkan Menteri MITI iaitu Tengku Zafrul di akaun Twitternya.
Zafrul menyatakan bahawa kemasukan Tesla ke Malaysia dilakukan melalui program yang ditubuhkan oleh kementerian yang dipanggil BEV Global Leaders. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan permintaan BEV (Battery Electric Vehicle) di Malaysia dan menteri menyatakan bahawa Tesla adalah pemohon pertama program itu.
Selain daripada EV, syarikat itu juga akan menubuhkan pejabat di sini bersama bilik pameran dan pusat servis. Singapura merupakan pasaran rasmi Tesla pertama di Asia Tenggara dan kemudiannya berkembang di rantau ini dengan mengumumkan ketibaannya secara rasmi di pasaran Thailand pada akhir 2022.
Tesla sebenarnya telah memasuki Malaysia pada tahun 2017 walaupun tidak mengeluarkan produknya di sini. Sebaliknya, syarikat itu telah menubuhkan Pusat Perkhidmatan Kongsi Kewangan di Pulau Pinang yang bertanggungjawab untuk perakaunan dan kewangan Tesla di EMEA serta Asia Pasifik.
Penubuhan itu ditutup beberapa tahun kemudian walaupun Tesla terus menyenaraikan anak syarikat Malaysianya dalam laporan kewangan tahun demi tahun. Pada Oktober 2022, syarikat itu kemudiannya menyatakan hasrat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menukar anak syarikat Malaysianya daripada operasi perkhidmatan kongsi kepada jualan automotif, runcit dan perkhidmatan.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







