Syarikat rangkaian dan telekomunikasi multinasional Sweden, Ericsson telah mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi salah satu daripada 11 tapak pembuatan utamanya di seluruh dunia. Tambahan, negara kita akan menjadi hab Asia Tenggara pertamanya yang menghasilkan produk 5G termaju untuk menyokong pelancaran 5G global dan tempatan.
Menurut Bernama, Ericsson memuji kepentingan Malaysia kepada syarikat itu dan berkata inisiatif ini akan menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui pekerjaan dan pemindahan pengetahuan teknikal kepada tenaga kerja tempatan. Ini termasuk bidang seperti pembuatan, kejuruteraan produk dan ujian peralatan.
Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro mengatakan bahawa pengeluaran peralatan 5G global Ericsson di Malaysia adalah sebahagian daripada inisiatifnya untuk membawa pengalaman, kepakaran dan pandangan globalnya ke Malaysia. Ini akan menyokong matlamat kerajaan persekutuan untuk menjadi pemimpin digital.
Hägerbro berkata peralatan radio 5G yang dihasilkan di Malaysia termasuk radio bersepadu antena Massive MIMO (Input Maksimum, Output Maksimum) Ericsson yang menerajui industri. Peranti tersebut ringan dan cekap tenaga yang dihasilkan di Prai, Pulau Pinang dengan kerjasama pengeluar elektronik Flex yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Syarikat itu telah berada di negara kita sejak 1965 dan merupakan peneraju dunia dalam teknologi 5G yang kini menjanakan 147 rangkaian langsung di 63 negara termasuk Malaysia. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA







