Selepas kenaikan harga Netflix baru-baru ini untuk beberapa pelannya, Apple turut mengikuti langkah ini dengan kenaikan harga pada perkhidmatan dalam taliannya seperti Apple One dan Apple Arcade. Hal ini mungkin berkaitan dengan kelemahan nilai ringgit buat masa ini yang mempengaruhi kenaikan harga perkhidmatan untuk syarikat yang berpangkalan di AS.
Kini, harga untuk perkhidmatan Apple One Individual dan Family yang merangkumi pelan iCloud+, Apple TV+, Apple Arcade dan Apple Music meningkat sebanyak RM5 menjadikannya RM34.90 dan RM44.90 (sebelum berharga RM29.90 dan RM39.90). Manakala pelan Apple One Premier meningkat sebanyak RM6 menjadikannya RM84.90 (sebelum RM78.90)

Selari dengan peningkatan harga bagi langganan Apple One, Apple Arcade juga tidak terkecuali dalam hal ini. Apple Arcade yang sebelum ini ditawarkan pada harga RM19.90 telah meningkat sebanyak RM10 menjadikannya RM29.90. Apple Arcade memfokuskan kepada perkhidmatan penyediaan permainan yang ekslusif untuk pengguna Apple melalui iPhone, Mac, iPad dan Apple TV.
Terdapat lebih 200 permainan yang ditawarkan dan menariknya, semua permainan yang ditawarkan boleh dimainkan tanpa iklan atau keperluan pembelian dalam aplikasi. Untuk pengetahuan, hanya dua perkhidmatan ini dinaikkan harga di Malaysia. Di luar negara, perkhidmatan Apple News+ dan Apple TV+ turut menunjukkan peningkatan harga.


Beritahu kami di Facebook pendapat anda tentang kenaikan harga langganan Apple ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







