Jika anda menetap di Lembah Klang dan kerap menggunakan pengangkutan awam oleh RapidKL, anda pasti sudah mengenali Pas Perjalanan Tanpa Had My50 dan Pas MyCity bagi membenarkan anda mengambil pengangkutan awam tanpa had untuk sebuah yuran tetap pada setiap bulan atau dalam satu tempoh tetap. Kini, RapidKL mengumumkan bahawa kedua-dua pas boleh dibeli secara dalam talian melalui aplikasi MyRapid PULSE.
Selepas anda memuat turun aplikasi MyRapid PULSE, anda perlu pergi ke seksyen Lifestyle, kemudian pilih pas yang diingini sama ada Pas Perjalanan Tanpa Had My50 (RM50), Pas MyCity untuk satu hari (RM5) atau Pas MyCity untuk tiga hari (RM15).

Perlu diingati bahawa selepas anda membeli mana-mana pas ini dalam aplikasi MyRapid PULSE, anda masih perlu pergi ke kaunter RapidKL di stesen dan tunjukkan kod QR untuk menebus pas yang dibeli.
Pas yang ditawarkan ini hanya dikhaskan untuk warganegara Malaysia sahaja, kerana ia akan dipautkan dengan kad identiti MyKad dan anda perlu mengaktifkannya di kaunter RapidKL. Jika anda masih mempunyai masalah dalam aplikasi PULSE, anda boleh membelinya terus di kaunter RapidKL dalam stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan stesen bas terpilih.
MyRapid PULSE boleh dimuat turun daripada Apple App Store atau Google Play Store. Beritahu kami di Facebook jika anda akan menggunakan fungsi baharu ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Twitter







