fbpx
More

    Ini semua fungsi Galaxy AI baharu dalam siri Samsung Galaxy S24 yang anda perlu tahu!

    Dengan pelancaran siri telefon pintar Samsung Galaxy S24 pada hari ini, Samsung turut mengetengahkan fungsi-fungsi kecerdasan buatan (AI) yang diperkenalkan dalam antara muka baharu bernama Galaxy AI.

    Fungsi-fungsi baharu ini bertujuan untuk memudahkan atau meringkaskan pelbagai kegunaan harian dalam telefon pintar anda. Untuk mengetahui bagaimana Galaxy AI boleh bantu anda, ayuh baca senarai fungsi-fungsi baharu yang diperkenalkan ini:

    Bulatkan untuk cari dengan Google (Circle to Search with Google)

    Samsung telah bekerjasama dengan perkhidmatan enjin carian popular Google untuk membantu anda mencari sebarang maklumat dengan lebih mudah. Apabil anda melihat sesuatu imej yang menarik perhatian dalam media sosial atau laman web dan ingin mengetahui lebih lanjut tentangnya, anda boleh lukis sebuah bulatan mengelilingi imej tersebut dan Galaxy S24 akan terus mencari maklumat mengenainya.

    Anda tidak perlu lagi membuka tab berasingan dalam pelayar web dan menaip kata carian secara manual. Selain itu, carian melalui AI ini juga akan menyediakan soalan lanjutan (follow-up questions) dan keputusan carian yang lebih terperinci, berdasarkan konteks carian anda.

    Pembantu panggilan (Call Assist)

    Jika anda membuat panggilan telefon dengan orang yang bercakap dalam bahasa berlainan, Galaxy AI boleh menterjemahkan suara orang itu secara langsung dengan fungsi Live Translate. Ia menyediakan penterjemahan dalam masa nyata (real time) bagi melancarkan perbualan di antara penutur bahasa yang berlainan.

    Buat masa ini, ia hanya menyokong beberapa bahasa terpillih sahaja iaitu Inggeris, Portugis, Sepanyol, Perancis, Korea, Jerman, Itali, Cina, Jepun, Hindi, Poland, Thai dan Vietnam.

    Pembantu menulis (Writing Assist)

    Dengan fungsi Chat Translation, anda boleh berbalas mesej dengan orang yang menulis dalam bahasa berlainan dengan lebih mudah. Mesej-mesej yang diterima ke dalam telefon akan terus diterjemahkan kepada bahasa yang dipilih oleh anda dalam masa nyata.

    Apabila membalas mesej kepada orang tersebut, anda juga boleh taip mesej dalam bahasa sendiri, kemudian Chat Translatioan akan menterjemahkan mesej itu untuk anda.

    Galaxy AI juga boleh menterjemahkan mesej dengan lima tona yang berbeza iaitu Professional, Emoji, Casual (santai), Social dan Polite (beradab). Ia akan membantu anda menulis mesej paling sesuai sewaktu berinteraksi dengan pelbagai kumpulan berlainan seperti rakan-rakan karib, ahli keluarga atau kawan-kawan sekerja.

    Buat masa ini, ia hanya menyokong beberapa bahasa terpillih sahaja iaitu Inggeris, Portugis, Sepanyol, Perancis, Korea, Jerman, Itali, Cina, Jepun, Hindi, Poland, Thai, Vietnam, Rusia, Arab, Indonesia, Turki, Romania dan Belanda.

    Pembantu nota (Note Assist)

    Jika anda gemar menulis sesuatu pada skrin telefon dengan jari, fungsi Handwriting Auto Spacing & Alignment boleh menukarkan tulisan anda kepada teks secara automatik. Dengan fungsi Auto Format pula, ia juga akan menyusun teks anda dengan lebih mendalam, seperti mencipta tajuk dan menentukan perenggan secara automatik.

    Selain itu, ia boleh merumuskan teks yang panjang kepada beberapa titik penting sahaja. Ia juga boleh mengkategorikan nota-nota anda menurut tajuk asal nota tersebut.

    Ia juga akan membantu anda menterjemahkan teks anda kepada bahasa lain dengan tepat, sambil mencadangkan ejaan dan format tulisan yang betul.

    Pembantu salinan (Transcript Assist)

    Fungsi Transcript Assist boleh menukarkan sebarang ucapan audio kepada format teks untuk dokumentasi yang lebih mudah. Dengan fungsi Speaker Label, ia juga boleh mengenal pasti suara penutur yang berlainan supaya ia boleh memisahkan teks menurut orang yang bercakap.

    Selepas menyediakan teks tersebut, ia boleh menyediakan rumusan ringkas bagi memudahkan anda untuk melihat poin-poin penting daripada audio tersebut.

    Pembantu pelayar web (Browsing Assist)

    Apabila anda mengakses sebuah artikel panjang dalam sebuah laman web, Galaxy AI akan membantu anda mendapatkan isi penting sahaja dengan menyediakan ringkasan daripada artikel tersebut. Ia juga boleh menyediakan penterjemahan secara automatik.

    Latar belakang janaan AI (Generative Wallpaper)

    Jika anda sudah bosan dengan latar belakang (wallpaper) dalam telefon Galaxy dan anda lebih berminat untuk cipta latar belakang sendiri yang unik, Generative Wallpaper boleh janakan latar belakang dan tema berdasarkan kata kunci (prompt) yang ditaip oleh anda sendiri.

    Lebih menarik, fungsi AI ini boleh menjana latar belakang yang baharu setiap kali anda membuka telefon.

    Suntingan gambar (Photo Editor)

    Dengan Galaxy AI, telefon Galaxy S24 boleh melakukan suntingan tambahan bagi mencantikkan gambar yang diambil dengan kameranya. Antara suntingan ini termasuklah Background Fill yang boleh membetulkan sudut gambar dan menjana latar belakang baharu untuk mengisi sebarang ruang kosong dalam gambar.

    Anda juga boleh menukar kedudukan subjek dalam gambar dengan Object Re-composition, di mana telefon ini akan mengesan objek utama dalam gambar kemudian anda boleh mengubah kedudukan objek tersebut. Dengan Edit Suggestion, ia juga boleh mencadangkan pelbagai efek seperti potret, buang pantulan, buang bayang-bayang, pemadam objek (Object Eraser) dan banyak lagi.

    Untuk video gerak perlahan, Galaxy AI boleh menjana bingkai (frame) baharu di antara bingkai-bingkai dalam video asal bagi menghasilkan video gerak perlahan yang nampak lebih lancar.

    Sewaktu membuat zum pula, Galaxy AI akan menghasilkan gambar yang jelas walaupun anda zum sejauh 100x. Ia akan memproses gambar dengan multi-frame processing dan deep learning untuk menghasilkan gambar akhir yang lebih jelas berbanding telefon Samsung sebelum ini.

    Jadi adakah anda berminat untuk mencuba pelbagai fungsi baharu yang ditawarkan oleh Galaxy AI ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    realme GT 6T akan dilancar pada 22 Mei 2024, dilengkapi skrin 6,000 nits, cas...

    Sebelum ini, realme mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar kelas pertengahan realme GT 6T pada bulan ini, namun tarikhnya tidak diperincikan....

    Siri HONOR 200 akan dilancar pada 27 Mei 2024, terdiri dengan 4 pilihan warna

    HONOR bakal melancarkan siri telefon pintar kelas pertengahan HONOR 200 dan HONOR 200 Pro pada hari Isnin, 27 Mei 2024 di China...

    Samsung Malaysia tawarkan diskaun sehingga RM200 untuk Galaxy A15 dan Galaxy A25 5G

    Walaupun sambutan Hari Ibu sudah pun berlalu, Samsung Malaysia masih ingin menganjurkan promosi sembena hari tersebut dengan menawarkan dua buah telefon pintar...

    Redmi Note 13R dilancar: SD 4 Gen 2 dan skrin 120Hz bermula ~RM907

    Selepas mengeluarkan Redmi Note 13R Pro tahun lepas, anak syarikat Xiaomi kini melancarkan varian standard peranti tersebut iaitu Redmi Note 13R di...

    Samsung sindir iklan Apple iPad Pro 2024 dengan video “Uncrush”

    Apple telah melancarkan iPad Pro 2024 baharunya dengan cip M4. Walau bagaimanapun, kemunculannya telah mencipta kontroversi dengan iklan Crush!. Iklan itu mungkin...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X