fbpx
More

    Apa yang anda boleh buat dengan USB-C pada iPhone 15? Ini semua yang anda perlu tahu:

    Selepas bertegas dengan menghasilkan iPhone yang mempunyai port Lightning sahaja pada tahun-tahun sebelum ini, Apple akhirnya akur dengan standard industri dan memperkenalkan port USB-C buat kali pertama dalam siri iPhone 15. Ini bermaksud iPhone 15 boleh digunakan dengan ratusan aksesori pihak ketiga dan anda tidak lagi disekat dengan ekosistem perkakasan Apple sahaja.

    Oleh yang demikian, mungkin para pengguna iPhone 15 tidak mengetahui perkara apa yang boleh dilakukan dengan port USB-C, kerana banyak perkara yang boleh dilakukan dengan port universal ini tidak boleh dibuat dengan port Lighting. Jadi dalam artikel ini, kami akan senaraikan semua benda baharu yang anda perlu tahu tentang port ini:

    Kabel USB-C berkualiti tinggi

    Setiap kotak untuk siri iPhone 15 didatangkan bersama seutas kabel USB-C ke USB-C yang dijahit (braided) dan berkualiti tinggi. Ini adalah sesuatu yang harus dipuji kerana selalunya pengeluar telefon Android sering memberi kabel USB-C yang dibuat daripada getah atau silikon yang rasa murah.

    Jadi jika anda tidak pernah memiliki kabel USB-C kerana anda merupakan pengguna iPhone tegar, anda akan memilikinya jika anda membeli mana-mana varian iPhone 15.

    Pengecasan pantas (untuk iPhone)

    Kami pasti pada kebanyakan waktu, port USB-C ini akan digunakan untuk mengecas siri iPhone 15. Dengan port USB-C, Apple mengatakan siri iPhone 15 menyokong kadar pengecasan yang lebih pantas daripada mana-mana iPhone sebelum ini, namun ia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan telefon Android.

    Anda boleh hubungkan iPhone 15 kepada pengecas pihak ketiga, seperti pengecas 65W di atas

    Semua iPhone 15 boleh dicas dengan kadar pengecasan sehingga 27W, selagi anda mempunyai pengecas USB-C yang boleh menyediakan kadar tersebut, seperti pengecas 30W oleh Apple. Jika anda membeli pengecas 20W, iPhone anda akan dicas pada kadar yang lebih perlahan iaitu 20W sahaja.

    Anda juga boleh gunakan pengecas Macbook atau mana-mana pengecas pantas yang menyokong USB-C untuk memberikan kadar pengecasan sehingga 27W atau lebih. Ini adalah kerana kebanyakan komputer riba juga didatangkan dengan pengecas USB-C yang boleh menjana tenaga sehingga 90W.

    Pengecasan berbalik (reverse charging)

    Anda boleh gunakan bateri dalam iPhone 15 untuk mengecas peranti lain, seperti telefon, jam tangan atau fon telinga wayarles. Untuk berbuat demikian, anda boleh gunakan kabel USB-C yang datang bersama iPhone 15, kemudian hubungkannya dengan peranti yang ingin dicas.

    Jelas sekali, bateri dalam iPhone 15 anda akan berkurangan dengan agak cepat, jadi anda perlu nilaikan sendiri sebanyak mana caj yang anda sanggup gunakan untuk mengecas peranti yang dihubungkan.

    iPhone 15 Plus (kiri) mengecas Xiaomi 13T Pro (kanan) secara pengecasan berbalik

    Pengecasan berbalik ini dilakukan pada kadar yang lebih rendah daripada pengecasan biasa. Ia tidak sesuai digunakan untuk mengecas telefon lain, namun ia amat berguna untuk mengecas peranti dengan bateri kecil seperti fon telinga wayarles atau jam tangan.

    Pada masa yang sama, anda juga boleh gunakan telefon lain untuk mengecas iPhone 15 anda.

    Sebuah Samsung Galaxy S21 FE (kanan) mengecas iPhone 15 Plus (kiri) secara pengecasan berbalik

    Pemindahan data yang lebih cepat

    Jika anda ingin memindahkan jumlah fail yang banyak atau saiz fail yang besar ke dalam komputer, kami mencadangkan anda untuk pindahkannya melalui kabel USB-C, namun anda perlu tahu bahawa terdapat perbezaan yang ketara dalam port USB-C di antara iPhone 15 dengan iPhone 15 Pro.

    iPhone 15 dan iPhone 15 Plus menggunakan standard USB 2 yang menawarkan pemindahan fail pada kadar sehingga 480Mbps, manakala iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max menggunakan standard USB 3 yang menawarkan pemindahan fail pada kadar sehingga 10Gbps.

    iPhone 15 Pro seperti dalam gambar di atas ini menggunakan standard USB 3 yang membenarkan pemindahan data lebih pantas berbanding USB 2 dalam iPhone 15 dan iPhone 15 Standard

    Ini bermaksud iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max boleh memindahkan fail jauh lebih pantas berbanding iPhone 15 dan iPhone 15 Plus. Sungguh pun begitu, perlu diingati bahawa anda memerlukan kabel yang boleh menyokong USB 3 untuk memindahkan fail pada kadar 10Gbps.

    Untuk makluman, kabel USB-C yang disertakan dalam semua kotak iPhone 15 boleh memindahkan fail pada kadar 480Mbps sahaja. Jadi jika anda gunakan kabel tersebut pada iPhone 15 Pro, anda tidak boleh manfaatkan kadar pemindahan USB 3 sepenuhnya.

    Pindahkan fail ke pen-drive

    Anda juga boleh gunakan port USB-C pada iPhone untuk memindahkan fail ke dalam pemacu USB atau sebarang storan luaran (external storage drive) yang boleh dihubungkan kepada port USB-C. Jika anda ingin gunakan pemacu USB yang biasa, anda perlukan adapter USB-C ke USB-A yang mudah untuk didapati di kedai-kedai komputer.

    Ini pastinya amat berguna jika anda perlu mengosongkan storan dalaman iPhone 15 dengan cepat. Selain itu, jika anda memiliki iPhone 15 Pro dengan kapasiti storan 128GB, anda perlu merekod video 4K ProRes terus ke dalam storan luaran kerana fail video itu terlalu besar dan tidak boleh disimpan dalam telefon sahaja (iPhone 15 Pro dengan storan yang lebih besar boleh menyimpan fail 4K ProRes terus ke dalam telefon).

    Hubungkan ke monitor dan televisyen

    Dengan port USB-C, anda boleh hubungkan iPhone 15 kepada sebarang paparan yang lebih besar seperti monitor atau televisyen dengan lebih mudah. Sebelum ini, jika anda ingin melakukan sedemikian, anda perlukan adapter original daripada Apple yang sangat mahal, sekurang-kurangnya RM239.

    Anda boleh gunakan kabel HDMI ke USB-C untuk hubungkan iPhone 15 kepada monitor atau televisyen, jika anda inginkan paparan yang lebih besar

    Kini, anda boleh gunakan sebarang kabel HDMI atau USB-C pihak ketiga yang lebih murah dan anda boleh hubungkan iPhone 15 dengan skrin yang lebih besar. Anda boleh gunakannya untuk paparkan filem atau game dalam resolusi sehingga 4K 60Hz. Skrin yang dihubung akan memaparkan sebarang kandungan yang dibuka dalam iPhone 15 anda. Buat masa ini, iOS masih tidak mempunyai fungsi untuk menggunakan paparan luaran sebagai skrin kedua (second scren).

    Hubungan ethernet untuk internet yang lebih stabil

    Jika anda tidak inginkan gangguan dalam hubungan Wi-Fi, anda boleh hubungkan terus iPhone 15 anda kepada modem melalui kabel ethernet RJ45. Anda hanya perlukan adapter USB-C ke ethernet, kemudian anda boleh dapatkan hubungan internet yang stabil dan tidak diganggu dengan peranti lain yang dihubungkan kepada Wi-Fi.

    Pelbagai jenis peranti tambahan

    Bukan sekadar yang disenaraikan di atas sahaja, port USB-C kini membuka pelbagai pilihan untuk peranti tambahan seperti power bank, adapter kepada kad memori microSD dan banyak lagi.

    Beritahu kami di Facebook jika senarai ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Tesla Model 3 Performance rasmi di Malaysia, 0-100km/j hanya 3.1 saat bermula RM242,000

    Hari ini, Tesla Malaysia telah melancarkan Tesla Model 3 Performance secara rasmi. Untuk pengetahuan, Tesla Model 3 Performance telah dilancarkan sebelum laporan...

    Pesaing Tesla, Polestar hasilkan telefon pintar pertama dengan ciri AI khas

    Salah satu pesaing Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik, Polestar, baru sahaja melancarkan telefon pertama mereka. Untuk pengetahuan, Polestar Phone dan Meizu 21...

    Elon Musk: Tesla adalah kenderaan EV dengan kos penyelenggaraan paling murah

    Sebuah analisis data yang diterbitkan oleh Consumer Reports pada Jumaat lalu menyatakan Tesla adalah jenama kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kos penyelenggaraan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X