fbpx
More

    Bagaimana fungsi Kill Switch oleh Maybank boleh mengurangkan kerugian jika anda menjadi sasaran ‘scam’

    Kegiatan jenayah penipuan atau scam dalam talian yang membabitkan akaun perbankan semakin menjadi-jadi sejak belakangan ini. Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Teo Nie Ching, pada tahun 2022 sahaja rakyat Malaysia kerugian lebih RM600 juta kerana tertipu oleh scammer.

    Bagi mengurangkan risiko daripada menjadi mangsa scam, baru-baru ini Maybank telah memperkenalkan fungsi baharu dalam perbankan atas talian (online banking) yang sangat penting iaitu Kill Switch. Fungsi ini membenarkan anda untuk mematikan akses Maybank2u anda buat sementara waktu.

    Pada waktu ini, penjenayah scammer menggunakan pelbagai taktik licik untuk mendapatkan akses kepada akaun bank anda, contohnya dengan menghantar pautan (link) palsu melalui WhatsApp atau SMS, yang kononnya memerlukan anda untuk mengisi butiran perbankan seperti kata nama (username) dan kata laluan (password) bagi mendapatkan hadiah atau lain-lain perkara yang menarik perhatian. Anda perlu peka dan cuba elakkan diri daripada menjadi mangsa melalui taktik ini.

    Sungguhpun begitu, walaupun anda sudah mempraktikkan amalan yang selamat sewaktu melayari laman web dan cuba mengelakkan scam sebaik mungkin, ada kalanya mungkin anda terleka dan memberi maklumat perbankan anda secara tidak sengaja kepada pihak yang tidak dikenali atau mencurigakan. Dalam senario seperti inilah Kill Switch boleh membantu anda menyelamatkan wang dalam akaun bank.

    Jika anda mengesyaki bahawa butiran akses bank anda telah diperolehi oleh  scammer, anda boleh gunakan Kill Switch dan semua akses terhadap Maybank2u anda akan dimatikan. Selepas Kill Switch digunakan, tiada sesiapa pun boleh mengakses akaun Maybank2u anda termasuklah diri anda sendiri.

    Berikut merupakan cara untuk mengaktifkan Kill Switch melalui laman web Maybank2u

    1 – Log masuk akaun Maybank di www.maybank2u.com.my dan anda akan melihat halaman utama Maybank2u, klik pada butang atas sebelah kanan skrin, kemudian pergi ke Settings.

    2 – Dalam Settings, pergi ke bahagian Security seperti yang tertera di atas

    3 – Kemudian pilih Kill Switch seperti yang tertera di atas

    4 – Klik Deactivate

    Di bawah merupakan cara untuk menggunakan Kill Switch pada aplikasi MAE

    Menerusi aplikasi MAE, anda perlu log masuk, kemudian aplikasi akan membawa anda ke halaman utama. Klik pada ‘Maybank2u’ di bahagian bawah dan klik pada butang 3 dot di atas kanan skrin. Ikuti arahan yang tertera untuk menggunakan Kill Switch.

    Dengan langkah ini, anda boleh melindungi wang dalam akaun bank daripada dipindahkan kepada akaun bank yang lain. Ia juga akan mengelakkan sebarang transaksi yang tidak sah (unauthorised transactions) kerana scammer tidak boleh daftar masuk ke dalam akaun anda.

    Untuk mendapatkan akses kepada Maybank2u anda semula, anda perlu hadirkan diri ke mana-mana cawangan Maybank atau hubungi Maybank Group Customer Care (MGCC) di 1-300-88-6688 bagi mengesahkan identiti anda sebagai pemilik akaun Maybank2u. Memandangkan bank memerlukan pengesahan identiti yang sangat tegas, Kill Switch bukanlah fungsi yang boleh digunakan secara leka.

    Adakah ini bermaksud anda tidak boleh membeli-belah sebaik sahaja Kill Switch digunakan? Jangan risau, kerana anda masih boleh mengeluarkan wang daripada mesin ATM dan melakukan pembayaran dengan kad debit atau kredit fizikal. Perkara yang tidak boleh dilakukan hanyalah aktiviti perbankan dalam talian yang melibatkan akses kepada aplikasi MAE, aplikasi M2U MY atau laman web Maybank2u.

    Walaupun dengan fungsi ini, anda harus tahu bahawa Kill Switch hanyalah satu daripada banyak langkah penting yang boleh diambil untuk megurangkan kerugian. Kill Switch hanya bertujuan untuk mengelakkan sebarang transaksi lanjutan jika akaun bank anda telah menjadi mangsa scam.

    Untuk elakkan diri daripada menjadi mangsa, anda wajib berhati-hati dengan pelbagai bentuk scam terkini seperti akaun keldai (mule accounts), pautan palsu melalui WhatsApp, fail apk yang tidak sah, malware, mesej OTP dan SMS palsu serta phishing.

    Selain itu, ambil langkah-langkah proaktif seperti menetapkan kata laluan (password) yang unik dengan gabungan huruf, nombor dan simbol, berhati-hati apabila menghubungkan peranti anda dengan Wi-Fi awam, aktifkan pengesahan dua-faktor serta pastikan semua peranti anda dikemas kini dengan versi perisian terkini. Semua amalan ini mudah sahaja namun sangat membantu dalam mengurangkan risiko anda menjadi mangsa scam.

    Jika anda malangnya telah menjadi mangsa scam, gunakan Kill Switch kemudian buat laporan dengan kadar yang segera di talian Maybank 03 5891 4744 (beroperasi 24 jam, 7 hari seminggu) serta Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 (beroperasi 8:00 pagi hingga 8:00 malam).

    Layari laman web Maybank untuk maklumat lanjut mengenai Kill Switch dan ikuti Maybank di FacebookInstagram dan YouTube untuk perkembangan terkini buat para pelanggan. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Infinix GT 20 Pro akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    Infinix Malaysia bakal melancarkan telefon pintar terbaru, Infinix GT 20 Pro, pada hari Khamis, 2 Mei 2024. Telefon kelas pertengahan ini bakal...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X