Perkhidmatan bas elektrik otonomi tanpa pemandu kini mula beroperasi secara rasmi bagi fasa ujian jalan raya di kawasan Putrajaya, berpusat dari stesen MRT Putrajaya Sentral. Kenderaan ini beroperasi menggunakan teknologi pemanduan kendiri yang disokong oleh rangkaian 5G, sensor kecerdasan buatan (AI) serta sistem radar bagi mengesan laluan dan lalu lintas di sekelilingnya.
Walaupun bergerak secara otonomi, seorang pengendali keselamatan tetap ditempatkan di dalam bas sepanjang perjalanan bagi memantau operasi dan mengambil alih kawalan sekiranya berlaku kecemasan. Bas elektrik ini menyediakan perkhidmatan pengangkutan mengikut laluan khusus yang ditetapkan di sekitar pusat pentadbiran Putrajaya.

Pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan ini dikenakan tambang sebanyak RM1 untuk setiap perjalanan. Sistem pembayaran dibuat sepenuhnya secara tanpa tunai di mana penumpang hanya perlu menyentuh kad debit atau kad kredit pada terminal pembaca kad semasa menaiki bas.
Pengenalan kenderaan ini bertujuan menguji keupayaan pengangkutan awam pintar dan mesra alam di kawasan bandar. Perkhidmatan bas elektrik otonomi kini sedia digunakan oleh orang ramai yang berulang-alik melalui MRT Putrajaya Sentral. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







