fbpx
More

    Perbezaan kadar segar semula (refresh rate) dengan kadar bacaan sentuhan (touch sampling rate)

    Sering kali dalam setiap pelancaran telefon-telefon kelas pertengahan atau flagship, jenama telefon tersebut akan mengetengahkan ciri skrinnya yang mempunyai kadar segar semula (refresh rate) atau kadar bacaan sentuhan (touch sampling rate) yang tinggi. Malah, terdapat banyak nombor yang dikaitkan dengan fungsi tersebut termasuklah 60Hz, 90Hz, 120Hz, 144Hz, 240Hz dan 270Hz.

    Sewaktu anda membeli telefon pintar yang baru selepas ini, penting untuk anda ketahui dua fungsi ini dalam telefon-telefon yang berada dalam senarai pilihan anda. Dalam artikel ini, kami akan menghuraikan dengan mudah apakah maksud dua fungsi skrin ini.

    Kadar segar semula (refresh rate)

    Pelbagai telefon flagship kini dilengkapi skrin dengan kadar segar semula 120Hz, termasuklah Samsung Galaxy S20 FE

    Kadar segar semula adalah lebih mudah difahami dan dilihat, jadi biar kami terangkan ciri ini terlebih dahulu. Semua skrin yang mempunyai imej bergerak seperti televisyen, monitor komputer dan skrin telefon anda perlu terus menjana imej yang berlainan dalam satu saat untuk menunjukkan sesuatu yang bergerak pada skrin tersebut.

    Sebagai contoh, apabila anda menonton filem di wayang atau pun skrin komputer, skrin tersebut sebenarnya memainkan 24 gambar sesaat untuk memberikan efek gerakan yang lancar dalam skrin. 24 gambar sesaat atau frames per second (fps) adalah had minima yang diperlukan dalam mana-mana skrin untuk menghasilkan gerakan yang lancar. Dalam erti kata lain, skrin perlu “menyegar semula” (refresh) gambar dalam skrin sebanyak 24 kali dalam satu saat. Jika kadar gambar yang dimainkan lebih rendah dari itu, sebarang gerakan akan nampak tersangkut-sangkut.

    Bilangan gambar dalam sesaat inilah yang dimaksudkan dengan kadar segar semula atau istilah Bahasa Inggerisnya adalah refresh rate. Kadar ini diukur dengan unit Hertz atau Hz. Jadi kalau telefon anda mempunyai kadar segar semula 60Hz, maksudnya skrin telefon anda boleh menjana imej sebanyak 60 gambar sesaat. Untuk 90Hz pula, 90 gambar sesaat.

    Ini maksudnya pengalaman menatal (scrolling) dalam skrin dengan kadar segar semula yang lebih tinggi akan nampak lebih lancar kerana skrin tersebut mampu menjana bilangan imej yang lebih banyak dalam satu saat.

    Untuk melihat fungsi ini dengan lebih baik, anda boleh lihat mana-mana video YouTube yang mempunyai tetapan “720p60” dan bandingkannya apabila anda mematikan fungsi 60fps dengan memainkan pada resolusi yang lebih rendah seperti 480p. Anda boleh cuba fungsi tersebut dalam video kami di bawah:

    Anda juga boleh pergi ke mana-mana kedai telefon dan cuba sendiri pengalaman menggunakan skrin dengan kadar segar semula yang lebih tinggi.

    Kadar bacaan sentuhan (Touch sampling rate)

    Jika kadar segar semula merujuk kepada bilangan gambar yang boleh dijana dalam satu saat, kadar bacaan sentuhan atau touch sampling rate pula merujuk kepada bilangan input sentuhan yang boleh dibaca oleh skrin anda dalam satu saat.

    Ciri ini hanya terdapat pada skrin sentuh (touchscreen) sahaja kerana ia melibatkan sentuhan daripada pengguna sebagai input untuk berinteraksi dengan peranti elektronik. Tidak seperti kadar segar semula, kadar bacaan sentuhan sukar dilihat dengan mata kasar dan hanya boleh dirasa apabila anda menggunakan skrin tersebut.

    Jika sebuah skrin telefon mempunyai kadar bacaan sentuhan 60Hz, telefon tersebut boleh membaca input daripada pengguna sebanyak 60 kali sesaat. Ini juga bermaksud telefon tersebut akan mengambil masa 16.7 milisaat (ms) untuk membaca satu input. Jika telefon tersebut terlepas satu input daripada sentuhan pengguna, telefon itu hanya akan membaca input seterusnya dalam masa 16.7ms selepas input pertama tadi.

    Namun jika kadar bacaan sentuhan dalam satu skrin telefon itu adalah 120Hz, ini bermaksud ia boleh membaca sentuhan pengguna sebanyak 120 kali dalam satu saat, atau 8.33ms untuk membaca satu input sentuhan. Setakat ini, kadar bacaan sentuhan yang paling tinggi adalah 270Hz yang terdapat dalam ASUS ROG Phone 3, iaitu hanya 3.7ms untuk membaca satu input pengguna.

    Pembina telefon gaming kerap mengetengahkan kadar bacaan sentuhan yang tinggi, di samping kadar segar semula yang tinggi juga seperti dalam ASUS ROG Phone 3

    Ini adalah penting kerana tidak semua input jari kita dibaca oleh skrin telefon. Jadi jika skrin telefon anda terlepas sebarang input dari jari, skrin dengan kadar bacaan sentuhan yang pantas tidak perlu menunggu lama untuk membaca input seterusnya.

    Sebenarnya fungsi ini mungkin tidak mempunyai nilai untuk pengguna telefon kasual yang hanya menggunakan telefon untuk berhubung dengan rakan atau melayari media sosial. Walau bagaimanapun, fungsi ini adalah amat penting buat gamers kerana fungsi ini boleh menyebabkan kalah atau menang dalam sesuatu pusingan. Pemain dengan kadar bacaan sentuhan yang lebih tinggi boleh mengambil kesempatan atas pemain dengan kadar yang lebih rendah kerana bacaan skrinnya yang lebih pantas.

    Kesimpulan

    Telefon dengan kadar segar semula dan kadar bacaan sentuhan yang tinggi setakat ini masih dianggap sebagai sesuatu yang ekstra dan bukan satu kemestian. Jika telefon yang anda minati tidak memberitahu kadarnya, besar kemungkinan ia mempunyai kadar segar semula dan kadar bacaan sentuhan yang sama iaitu 60Hz.

    Namun jika anda sanggup berbelanja lebih, skrin dengan kadar yang lebih tinggi akan menjadikan pengalaman harian anda lebih menarik. Buat mereka yang serius dengan gaming pula, telefon dengan kadar bacaan sentuhan yang paling tinggi adalah wajib.

    Beritahu kami di Facebook jika artikel ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Nothing mengacah produk audio yang akan datang tidak lama lagi

    Nothing yang merupakan jenama dengan reka bentuk yang menarik kini telah menyiarkan pengacah rasmi mengenai pelancaran produk audio yang akan datang. Seperti...

    Selepas PDRM, Imigresen mungkin turut akan menggunakan kamera badan

    Sebelum ini, kami laporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memakai kamera badan secara beransur-ansur mulai Oktober ini. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)...

    Fungsi Gemini dalam Google Messages kini tersedia untuk pengguna di Malaysia

    Google Gemini merupakan bot sembang AI oleh Google dengan model berbilang bahasa. Namun, untuk mengakses Gemini Ultra, anda perlu melanggan pelan Google...

    Imej janaan Google Pixel 9 tertiris tanpa kanta periskop, model XL turut bakal dilancar

    Sebelum ini, terdapat imej janaan yang tertiris menunjukkan pandangan pertama Google Pixel 9 dan 9 Pro. Kini, sumber mendedahkan bahawa model standard...

    Fahmi Fadzil: Kerajaan akan bincang mengenai model rangkaian dwi 5G minggu depan

    Satu mesyuarat mengenai model rangkaian dwi 5G dijangka diadakan minggu depan menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Beliau mendedahkan perkara ini semasa pelancaran...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X