fbpx
More

    Cinta Kuarantin: Pasangan kekasih kongsi cara untuk kekal berhubung sewaktu penjarakan sosial

    Selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, majoriti negara-negara lain pula sudah pun menguat kuasakan undang-undang serupa untuk menggalakkan rakyatnya kekal di rumah sewaktu pandemik COVID-19 ini berlangsung. Daripada pelaksanaan separa seperti PKP sehinggalah perintah berkurung penuh seperti di China sebelum ini, usaha untuk meningkatkan penjarakan sosial (social distancing) semakin giat diambil.

    Perkara ini tentunya amat merisaukan pasangan bercinta yang sebelum ini boleh sahaja meluangkan masa bersama di luar. Untuk mengetahui bagaimana pasangan-pasangan kekal berhubung sewaktu mereka tidak boleh bersama ini, TechNave telah menemu ramah beberapa pasangan tentang cara mereka untuk mengatasi ketiadaan insan tersayang secara fizikal.

    Tentu sekali, ramai yang menggunakan aplikasi media sosial seperti Instagram atau aplikasi panggilan video seperti Zoom untuk menggantikan sesi dating mereka. Namun, terdapat juga beberapa langkah kreatif yang diambil agar lebih seronok. 

    Tak boleh keluar makan bukan alasan tak boleh makan bersama

    Bagi Arif yang kini menetap di Melaka dan mempunyai seorang teman wanita di Selangor, selalunya mereka akan berjumpa setiap hari minggu untuk makan bersama. Kini walaupun mereka terpaksa berjauhan, mereka tetap ingin meneruskan amalan makan bersama pada setiap hari minggu.

    “Saya akan menyuruh teman wanita saya untuk memesan makanan melalui aplikasi penghantaran makanan dan jika sebelum ini saya selalu belanja dia makan di restoran, sekarang saya hantar duit makanan tersebut kepada akaun bank dia secara dalam talian sahaja,” kata Arif kepada penulis sambil berjenaka. Mereka kemudian akan makan bersama-sama sambil membuat panggilan video.

    Nampaknya penghantar makanan seperti foodpanda atau Grab Food bukan sahaja sekadar mengisi perut pelanggan, malah kini menjadi “wing man” untuk mengekalkan hubungan percintaan. Sumber: Pexels

    Guna pelbagai jenis aplikasi untuk menjadikan dating dalam talian lebih seronok

    Manakala untuk Najah pula yang kini menetap di Kuala Lumpur dan mempunyai teman lelaki di Shah Alam, mereka menggunakan pelbagai aplikasi interaktif untuk menghiburkan masing-masing sewaktu berjauhan.

    “Sebelum ini, kami berjumpa sekali dalam setiap dua atau tiga minggu. Memandangkan kami berdua pun tidak boleh keluar rumah untuk kerja atau hal-hal lain, jadi kami tidak ada banyak perkara untuk disembangkan.

    “Jadi untuk menggantikan kekurangan topik borak dan ketiadaan fizikal masing-masing, kami jadualkan panggilan telefon, menonton filem sambil ber-FaceTime atau saling bertukar kuiz untuk berhibur,” kata Najah. Ketidakpastian dalam tarikh tamat PKP juga menyukarkan keadaan tetapi ia tidak menghalang mereka untuk kekal berhubung.

    Sekarang terdapat pelbagai aplikasi untuk membuat panggilan video dan berhibur bersama orang tersayang bagi menghilangkan rindu. Sumber: Pexels.

    Meme jadi penyuluh cahaya harapan sewaktu negara diselubungi kegelapan pandemik

    Bagaimana pula dengan pasangan di negara lain yang turut melaksanakan inisiatif mirip PKP? Penulis menemu ramah rakannya, Daniel, rakyat Amerika Syarikat (AS) yang kini menetap di Los Angeles, California dan mempunyai teman wanita di Vegas, Nevada. 

    “Kami sebenarnya tinggal bersama, tetapi saya perlu berpindah ke Los Angeles kerana saya bekerja dalam sebuah syarikat media di situ. Malah, pada waktu ini saya perlu bekerja kerana bidang penyiaran adalah sektor penting yang perlu diteruskan dalam situasi ini.

    “Pada masa sekarang, selain selalu menghantar teks dan membuat panggilan telefon, kami juga kerap berkongsi meme kelakar dan banyak lagi media lucu untuk mengalihkan perhatian kami daripada situasi sekarang,” kata Daniel.

    Ini membantu mereka mengurangkan kegusaran terhadap situasi pandemik di AS yang semakin teruk setiap hari. Sewaktu artikel ini ditulis, AS adalah negara yang mempunyai bilangan kes jangkitan COVID-19 tertinggi.

    Walaupun AS adalah negara yang paling terjejas daripada wabak COVID-19, tidak bermakna ia akan menghapuskan percintaan sesama manusia. Sumber: Pixabay

    Pengorbanan suami yang beristerikan doktor sewaktu penularan wabak

    Walau bagaimanapun tidak semua pasangan mempunyai masa untuk menghiburkan masing-masing pada waktu ini. Kembali di Malaysia, Shakir, yang kini menetap di Kuala Lumpur, mempunyai isteri yang kini bekerja di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru. Selain terpaksa berjauhan, isteri beliau perlu bekerja keras untuk merawat pesakit COVID-19 di negeri itu dan membendung penularannya.

    Dan mungkin yang lebih sukar untuk Shakir adalah beliau tidak dapat berjumpa isterinya sebaik sahaja PKP ditamatkan atau wabak COVID-19 disahkan pudar.

    “Sebaik sahaja PKP ditamatkan, isteri saya pula perlu dikuarantin di dalam hospital selama 14 hari bagi memastikan dia betul-betul tidak dijangkiti koronavirus tersebut. Saya pun bosan dalam rumah seorang diri sejak sekian lama,” katanya. Isteri beliau sudah pun ditugaskan di HSA sejak sebelum PKP dikuat kuasakan pada 18 Mac.

    Memandangkan PKP sudah pun masuk fasa kedua yang mempunyai tarikh tamat pada 14 April sewaktu artikel ini ditulis, Shakir hanya boleh berjumpa isterinya paling awal pada 28 April, itu pun jika PKP tidak diteruskan lagi selepas 14 April.

    “Namun, kami tetap boleh mencari masa setiap malam untuk membuat panggilan melalui WhatsApp atau FaceTime, di mana saya sentiasa memberi kata semangat kepada isteri saya dalam menjalankan tanggungjawabnya,” kata Shakir kepada penulis.

    Para pekerja perubatan Malaysia bukan sahaja perlu bekerja keras untuk menangani wabak COVID-19, malah perlu mengorbankan masa berharga dengan keluarga tersayang untuk tempoh yang sangat lama. Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

    Jadi bagaimana anda pula kekal berhubung dengan insan tersayang pada waktu PKP ini? Kongsi bersama kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Apple mengalih keluar WhatsApp dan Thread daripada App Store di China

    Menurut Reuters, Apple melaporkan bahawa Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta Apple untuk mengalih keluar aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store...

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X