fbpx
More

    Ciri dan fungsi yang anda perlu tahu pada kemas kini iOS 17


    iOS 17 memperkenalkan beberapa ciri baharu dan peningkatan pada beberapa aplikasi. Walaupun ada pengguna yang mengatakan perubahannya agak sedikit atau tidak terlalu penting, Apple mungkin akan melancarkan lebih banyak ciri dalam kemas kini seterusnya. Berikut adalah beberapa ciri menarik yang boleh didapati iOS 17:

    StandBy

    Diinspirasikan daripada Apple Watch, ciri ini menampilkan waktu dengan pelbagai muka jam apabila telefon diletakkan dalam mod landskap pada atau tanpa pemegang telefon. Pengguna dapat melihat foto terbaik mereka, widget dan Aktiviti Langsung seperti skor permainan. Mod Standby hanya boleh dilihat ketika pengecasan. Bagaimanakah untuk menghidupkan ciri ini? Anda perlu pergi ke Tetapan (Settings), klik pada Standby dan hidupkan pilihan tersebut.

    Poster Kenalan

    Sesuaikan penampilan dalam panggilan dan pada kad kenalan anda dengan gambar, fon dan warna. Ciri ini berintegrasi dengan Kit Panggilan dan boleh digunakan dalam aplikasi VOIP pihak ketiga. Apabila anda klik pada pilihan kenalan, anda boleh suaikan poster kenalan dengan menangkap gambar baharu, pilih daripada album, cipta memoji atau monogram. Pelbagai tulisan dan warna turut disediakan.

    Voicemail Langsung

    Apabila seseorang meninggalkan pesanan suara, iOS 17 menyediakan transkripsi langsung ketika mereka bercakap, membolehkan pengguna memutuskan sama ada untuk menjawab panggilan tersebut. Sebagai contoh, apabila kenalan anda membuat panggilan, anda boleh menaip mesej tersuai untuk dihantar menandakan anda mungkin sedang sibuk.

    Panggilan Telefon

    Aplikasi Telefon (Phone) telah membawa perubahan termasuk penggantian butang Kenalan serta kemas kini butang dalam panggilan dan ikon. Ia juga membawa antara muka baharu apabila anda klik pada kenalan seperti yang boleh dilihat di atas. Ia juga mempunyai pilihan untuk melihat jumlah kenalan dalam senarai Semua Kenalan (All Contacts), iCloud dan sebagainya.

    FaceTime

    Pengguna kini boleh meninggalkan pesanan video dalam aplikasi FaceTime apabila panggilan tidak dijawab dan panggilan FaceTime boleh dijawab melalui Apple TV. Panggilan video turut dipertingkatkan di mana emoji akan muncul mengikut gerakan tangan anda. Sebagai contoh, emoji hati akan keluar apabila anda membentukkan tangan anda seperti hati.

    Mesej

    iOS 17 mempercepatkan aplikasi Mesej, menambah penapisan carian, membenarkan melompat ke mesej belum dibaca pertama dalam perbualan kumpulan dan membolehkan ‘swipe‘ untuk menjawab mesej mana-mana. Ia juga memperkenalkan ciri Check-In yang memberitahu keluarga dan rakan-rakan bahawa anda selamat tiba di destinasi.

    Nada Dering dan Nada Teks

    iOS 17 menawarkan 24 nada dering baru dan nada teks baru, memberikan pilihan penyesuaian dalam tetapan Bunyi & Haptik. Dalam pada itu, anda boleh mencipta bunyi getaran tersuai untuk panggilan dan juga pemberitahuan mesej.

    Sticker
    Video perlu ‘pause’ untuk membuat sticker

    Semua emoji kini dianggap sebagai Sticker dan disimpan di tempat yang sama. Pilihan Sticker dalam pengalaman aplikasi Mesej yang dikemas kini membolehkan anda melihat emoji, Sticker yang anda muat turun daripada App Store, Sticker yang anda buat daripada foto dan Memoji di satu tempat. Emoji kini boleh digunakan seperti Sticker, diletakkan di mana-mana sahaja pada mesej. Foto animasi langsung dan video juga kini boleh diubah menjadi Sticker.

    AirDrop

    AirDrop lebih mudah digunakan di mana pengguna hanya perlu mendekatkan peranti untuk berkongsi maklumat. Pengguna boleh memilih nombor telefon dan alamat e-mel yang ingin mereka kongsi. Terdapat khabar angin mengatakan kemas kini akan datang bakal membolehkan AirDrop melalui Internet, tetapi kami tidak pasti bagaimana ia berfungsi.

    Papan Kekunci dan Dictation

    Pembetulan perkataan (Auto-Correct) berfungsi dengan lebih tepat daripada sebelumnya, menawarkan pilihan pemulihan kata. Ramalan akan muncul sejajar ketika menaip dan pembelajaran mesin akan menyesuaikan auto-correct dengan gaya penulisan anda. Selain itu, Dictation memperkenalkan pertuturan baharu untuk menjadikannya lebih tepat.

    Hai Siri

    Anda tidak perlu lagi berkata “Hei” setiap kali anda mahu memanggil Siri. Siri dikuasakan dengan imlak dan auto-correct baharu, menjadikannya jauh lebih tepat dan mampu memahami arahan anda. Anda juga boleh membuat beberapa permintaan dalam satu arahan suara.

    Aplikasi Cuaca (Weather)

    Aplikasi Cuaca membawa antara muka baharu menunjukkan teks “Lokasi Saya” yang besar untuk ramalan cuaca di lokasi semasa anda, dengan bandar di bawahnya. Aplikasi ini menampilkan status bulan seperti bulan penuh, waktu terbenam dan bulan terbit serta kalendar bulan.

    Reminders

    Reminders boleh disusun secara bersebelahan. Ini berguna untuk mereka yang melakukan dua perkara dalam satu masa seperti bekerja sambil membeli barangan rumah. Kategori membeli-belah akan disusun secara automatik di bawah tajuk yang berbeza semasa anda menambahkannya pada senarai anda.

    Find My

    Pada aplikasi Find My, AirTags boleh dikongsi sehingga lima orang untuk memberikan akses dalam pencarian dan memainkan bunyi untuk mencari barangan yang hilang. Sekiranya iPhone atau iPad anda kehabisan bateri, makan anda boleh meminjam peranti kenalan anda dalam senarai untuk meneruskan pencarian.

    Foto (Photo)

    Album Orang (People) pada iOS 17 dapat mengecam lebih banyak muka termasuk kucing dan anjing. Menariknya, ia boleh mengecam muka anak buah saya daripada umurnya sembilan bulan sehingga mencecah umur empat tahun. Kemudian, Visual Look Up kini berfungsi dengan makanan, jadi anda boleh mengetik butang “Maklumat” pada foto dengan hidangan dan kemudian mencari resipi yang serupa.

    Peta (Maps)

    Dalam aplikasi Peta, anda kini boleh memuat turun peta secara luar talian untuk kawasan terpilih, supaya anda boleh mengakses navigasi walaupun tanpa internet. Stesen pengecas turut ditunjukkan di sepanjang laluan Peta bagi mereka yang memiliki kenderaan elektrik.

    Safari dan penyemakan imbas peribadi

    Penyemak imbas web Apple menampilkan halaman baharu untuk membolehkan pengguna memisahkan penyemakan imbas berkaitan kerja daripada penyemakan imbas lain. Halaman tersebut menunjukkan kumpulan tab dan Kegemaran atau anda boleh memilih carian lalai yang berbeza untuk penyemakan imbas peribadi.

    Walaupun beberapa ciri iOS 17 masih belum tersedia, ini menunjukkan komitmen Apple kepada pengguna untuk meningkatkan pengalaman yang lebih baik. Syarikat itu dijangka akan memperkenalkan ciri tambahan dalam kemas kini seterusnya seperti AirDrop melalui Internet, aplikasi Journal, senarai main muzik Apple yang boleh digunakan secara berkolaborasi, AirPlay dalam bilik hotel dan NameDrop untuk Apple Watch.

    Namun begitu, dengan perubahan baharu ini, terdapat pepijat yang lain seperti kehabisan kuasa bateri dengan cepat, lag dan glitching pada sesetengah pengguna iPhone. Kini, iOS 17.0.3 telahpun dikeluarkan yang mungkin menyelesaikan isu panas pada iPhone 15 Pro.

    Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Google perkenal ciri perlindungan kecurian untuk keselamatan peranti dan data anda

    Telefon pintar membantu pengguna menyimpan maklumat peribadi dan data berharga menjadikannya sasaran yang menarik untuk kecurian. Untuk meningkatkan keselamatan, satu set baharu...

    Google Wallet bolehkan anda tambah dokumen dan tiket daripada pustaka foto

    Dompet mudah alih telah menjadi asas kemudahan moden, membolehkan pengguna menyimpan bukan sahaja kad kredit mereka tetapi juga kad insurans kereta, tiket...

    Zahid Hamidi ingin kerajaan beri tablet kepada setiap pelajar

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan memastikan setiap pelajar dan murid dibekalkan dengan sebuah tablet supaya mereka...

    Nokia 3210 rasmi di Malaysia dengan sambungan 4G, port USB-C berharga RM339

    Minggu lepas, HMD melancarkan Nokia 3210 klasik yang diberi nafas baharu dengan sambungan 4G dan port pengecasan USB-C untuk meraikan ulang tahun...

    Apple perkenalkan kawalan peranti dengan mata dan ‘Music Haptics’

    Ketika Google I/O sedang berlangsung, Apple berjaya mencuri perhatian dengan mengumumkan beberapa ciri keupayaan akses yang akan membolehkan orang kurang upaya menggunakan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X