Selepas Nothing memperkenalkan fon kepala over-ear pertamanya awal tahun ini, sub-jenama CMF kini hadir dengan model baharu iaitu CMF Headphone Pro. Berbeza dengan rekaan futuristik telus daripada Nothing, fon kepala ini tampil lebih tradisional dengan bentuk bulat serta pilihan warna Light Green, Light Gray dan Dark Gray.
Menariknya, pengguna boleh menukar pad/kusyen telinga dengan pilihan warna lain termasuk Light Green atau Orange. Headphone Pro hadir dengan bateri sehingga 100 jam (tanpa ANC) atau 50 jam dengan ANC diaktifkan. Ia menggunakan teknologi Hybrid Adaptive ANC yang boleh mengurangkan hingar sehingga 99% dan berubah secara automatik mengikut persekitaran selain mod telus penuh.

Antara ciri lain yang ditawarkan termasuk Static Spatial Audio dengan pilihan mod Cinema dan Concert, pengawal fizikal berbentuk roller untuk melaras kelantangan, main/jeda, menukar mod ANC serta Energy Slider yang membolehkan pengguna melaras bass atau treble terus dari fon kepala melalui aplikasi Nothing X.
Selain itu, terdapat juga butang akses pantas yang boleh diprogram untuk mengaktifkan Spatial Audio, merakam nota suara yang diselaraskan dengan telefon Nothing/CMF atau terus mengaktifkan ChatGPT. CMF Headphone Pro menggunakan driver 40mm dengan gegelung suara kuprum 16.5mm, menyokong LDAC dan menerima pensijilan Hi-Res Audio Wireless.

CMF turut bekerjasama dengan Audiodo untuk menawarkan fungsi Personal Sound Profile iaitu ujian kalibrasi audio selama tiga minit yang menyesuaikan bunyi mengikut telinga pengguna. Profil bunyi ini disimpan terus dalam fon kepala, jadi ia boleh digunakan bukan sahaja dengan telefon, tetapi juga bersama PC atau peranti lain.
CMF Headphone Pro ditawarkan di Malaysia dengan harga RM429 dan ketersediaan akan diumumkan. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Nothing






