Google mengumumkan pelarasan baharu terhadap ketersediaan model dan had penggunaan untuk aplikasi Gemini menerusi akaun peribadi. Perubahan berkuat kuasa secara rasmi bermula 9 Oktober bagi pengguna tanpa langganan manakala pengguna pelan berbayar akan dimaklumkan mengenai tarikh pelaksanaan menerusi emel.
Melalui kemas kini baharu, pengguna akaun percuma tidak lagi mempunyai akses kepada model Flash dan Pro, sebaliknya terhad kepada varian Flash-Lite sahaja. Bagi pelanggan pelan AI Plus, akses diselaraskan kepada model Flash-Lite dan Flash dengan penarikan akses model Pro. Sementara itu, pelanggan pelan AI Pro dan AI Ultra kekal menerima akses ke semua model termasuk Flash-Lite, Flash dan Pro.
Google turut memperkenalkan tetapan aras usaha model yang membolehkan pengguna memilih tahap rendah, sederhana atau tinggi bagi setiap model yang diakses. Pemilihan tahap usaha yang lebih tinggi membolehkan Gemini menyelesaikan tugas dengan lebih teliti, namun tindakan itu akan menggunakan had pengkomputeran dengan lebih pantas.
Pelanggan pelan AI Pro dan AI Ultra juga diberikan akses kepada fungsi Deep Think untuk keupayaan penaakulan selari secara maksimum. Sistem penggunaan Gemini kekal bergantung kepada had berasaskan pengkomputeran yang dikemas kini setiap 5 jam sehingga mencapai had mingguan.
Pengiraan penggunaan dipengaruhi oleh faktor kerumitan arahan, ciri yang digunakan dan panjang perbualan dengan tugasan seperti penjanaan media, Deep Research, penggunaan model Pro serta ciri pemikiran lanjut mengambil jumlah had yang lebih besar. Pengguna dengan pelan AI Plus menerima had dua kali ganda berbanding akaun percuma manakala pelan AI Pro menawarkan had empat kali ganda.
Pelan AI Ultra pula memberikan had antara lima hingga 20 kali ganda lebih tinggi berbanding pelan AI Pro bergantung kepada jenis langganan.Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Google






