Kerajaan akan melaksanakan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON95 dengan menggunakan MyKad dan sistem harga dua peringkat. Langkah ini bertujuan memastikan subsidi hanya dinikmati oleh golongan yang layak serta mengurangkan ketirisan kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyatakan bahawa lebih 85 peratus rakyat Malaysia dijangka terus menikmati subsidi bahan api ini tanpa perubahan ketara. Sistem baharu ini dijangka berkuat kuasa pertengahan tahun ini setelah proses perincian dan ujian rintis selesai.
Di bawah mekanisme ini, pengguna perlu mengimbas MyKad mereka di stesen minyak bagi menentukan kelayakan harga subsidi. Golongan berpendapatan tinggi mungkin perlu membayar harga pasaran penuh sementara golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan terus menerima harga bersubsidi.
Kerajaan turut mempertimbangkan penggunaan kaedah lain seperti e-dompet sebagai saluran alternatif bagi menyalurkan subsidi. Dengan sistem ini, kerajaan berharap dapat mengekang ketirisan subsidi yang selama ini turut dinikmati oleh warga asing dan sektor komersial yang tidak sepatutnya menerima manfaat tersebut.
Pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar ini diharap dapat meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan serta memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan dan pelaksanaan sistem ini dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
SUmber: Berita Harian






