Selepas memperkenalkan HUAWEI Mate XT sebagai telefon lipat pertama dalam dunia dengan skrin yang boleh dilipat kepada tiga bahagian, kini HUAWEI melancarkan pengganti kepadanya iaitu HUAWEI Mate XTs. Ia masih mempunyai rekaan yang serupa dengan Mate XT asal, namun dengan beberapa pembaharuan pada spesifikasi dalaman dan pilihan warna.
Telefon baharu ini dilengkapi skrin OLED LTPO berukuran 10.2 inci dengan resolusi 3K, kadar segar semula 90Hz, kecerahan puncak 1,800 nits dan nisbah aspek 16:11. Dengan nisbah aspek sedemikian, ia boleh memaparkan tiga aplikasi dalam masa serentak.
Apabila dilipat sekali, skrin ini berukuran 7.9 inci dan apabila dilipat dua kali, ia mengecil kepada 6.4 inci sahaja. Daripada segi ketebalan, ia mempunyai ketebalan 12.8mm apabila dilipat sepenuhnya dan 3.8mm apabila dibuka sepenuhnya. Beratnya juga tidak terlalu tinggi iaitu 298 gram.



Satu pembaharuan adalah pada cipset, di mana Mate XTs menggunakan Kirin 9020 bagi menggantikan Kirin 9010 pada Mate XT asal. HUAWEI menjanjikan prestasi yang lebih pantas sebanyak 36% berbanding Kirin 9010. Untuk memori, ia mempunyai RAM 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB.
Baterinya berkapasiti 5,600mAh dan menyokong kadar pengecasan pantas 66W, pengecasan wayarles 50W dan pengecasan wayarles berbalik 7.5W.
Kameranya serupa seperti Mate XT, dengan kamera utama 50MP dan kamera telefoto periskop 12MP, namun sensor kamera ultra-lebar telah ditingkatkan kepada 40MP (daripada 12MP pada Mate XT).
Ia didatangkan dalam pilihan warna hitam, merah, ungu dan putih. Harganya untuk pasaran China adalah bermula daripada CNY17,999 (~RM10,650) untuk varian 16GB+256GB, namun setakat ini masih tiada maklumat mengenainya untuk pasaran Malaysia.
Jika anda berminat dengan HUAWEI Mate XT, ia sudah pun dijual di Malaysia dengan harga RM14,999.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti unik ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: HUAWEI China







