Jenama HUAWEI telah melancarkan HUAWEI Smart Glasses di China yang lebih menonjol daripada cermin mata pintar sebelum ini kerana reka bentuk bingkai hadapannya yang boleh ditanggalkan.
Sebelum ini, HUAWEI bekerjasama dengan Gentle Monster untuk melancarkan beberapa cermin mata pintar tetapi cermin mata berjenama HUAWEI sendiri menggunakan reka bentuk bingkai hadapan boleh tanggal. Ia hadir dalam bingkai pelbagai warna menawarkan tiga jenis bingkai iaitu bingkai klasik, juruterbang bergaya dan bingkai bulat retro.
Cermin mata pintar HUAWEI ini menggunakan pembesar suara stereo amplitud besar definisi tinggi 128mm² yang mengelilingi telinga. Ia juga menampilkan sistem akustik medan bunyi songsang untuk mengurangkan kebocoran bunyi dan reka bentuk dwi-mikrofon dengan pembatalan bunyi angin yang boleh menangkap suara pengguna dengan lebih jelas.
HUAWEI Smart Glasses adalah cermin mata pertama yang menggunakan HarmonyOS. Ia menyokong sambungan dua peranti secara serentak, suis untuk bertukar di antara dua peranti tersebut dan sambungan pintar yang divisualisasikan. Ia juga menyokong mesej ringkas, maklumat jadual dan maklumat menaiki pesawat.

Pengguna hanya perlu ketik dua kali untuk memainkan dan menjeda audio, leret untuk menukar audio, tekan dan tahan untuk menolak panggilan serta tekan untuk mendengar apa sahaja yang anda mahukan. Ia bertahan sehingga 16 jam jika dicas sepenuhnya. Dengan pengecasan magnetik, ia mampu memainkan muzik selama 80 minit dalam 10 minit pengecasan. Ia mempunyai kalis air IPX4 dan boleh digunakan dalam hujan.
Selain itu, ia membantu anda memerhatikan postur tulang belakang serviks dengan menjejaki tempoh pemakai menundukkan kepala serta menilai kesihatan tulang belakang serviks. Ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan bersama Rehabilitation Medicine Department of the First Affiliated Hospital of Sun Yat-sen University untuk memberikan amaran awal tentang risiko kesihatan tulang belakang serviks.
Versi kanta optik HUAWEI Smart Glasses berharga 1,699 yuan (~RM1,120) manakala versi cermin mata hitam berharga 1,899 yuan (~RM1,252). Beri pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizmochina







