Pengeluar komputer tempatan ILLEGEAR hari ini mengumumkan pelancaran komputer riba terbaharu dengan NEO 14 Air OLED yang menampilkan rekaan ultra ringan seberat hanya 1kg dan hadir dengan spesifikasi kelas premium yang menyokong kerja berasaskan kecerdasan buatan (AI).
NEO 14 Air OLED merupakan komputer riba bersaiz 14 inci yang menggunakan paparan Infinivision OLED dengan resolusi WUXGA dan nisbah aspek 16:10. Pengguna boleh memilih antara dua konfigurasi cip pemproses Intel Core Ultra 5 225H atau Ultra 9 285H yang kedua-duanya menyokong aplikasi pintar dan aliran kerja intensif.

Daripada segi memori, ILLEGEAR menawarkan pilihan sama ada LPDDR5 16GB pada kelajuan 4800MT/s atau 32GB pada 6400MT/s. Menambah nilai kepada model ini, NEO 14 Air OLED turut dilengkapi dengan dua port Thunderbolt 4 yang menyokong kelajuan pemindahan data sehingga 40Gbps, sambungan paparan luaran 4K dan pengecasan pantas.
Sistem audio pula terdiri daripada enam pembesar suara dalam konfigurasi quad-channel yang menjanjikan bunyi lantang dan seimbang. Turut disertakan ialah UltraSense Glass Force Touchpad yang lebih responsif serta sistem penyejukan khas yang memastikan operasi senyap dan efisien walaupun di bawah beban kerja tinggi.

Komputer riba ini kini dibuka untuk tempahan menerusi laman rasmi ILLEGEAR dengan harga permulaan RM3,999. Unit pertama dijangka akan dihantar kepada pelanggan menjelang akhir bulan Jun 2025. Sepanjang tempoh tempahan, pembeli akan menerima beberapa tawaran eksklusif secara percuma termasuk kalibrasi warna bernilai RM49, Thermal Grizzly Kryonaut bernilai RM99, tetikus tanpa wayar Stix bernilai RM99, beg galas Hive Backpack bernilai RM289 dan gantungan kunci ILLEGEAR Carabiner bernilai RM49.
Selain itu, pembeli juga berpeluang mendapatkan diskaun pembelian dengan pembelian (PWP) bagi aksesori dan kelengkapan ILLEGEAR lain termasuk monitor APEX 27 pada harga promosi RM849. Untuk maklumat lanjut serta pra-tempahan, pengguna boleh melayari laman rasmi ILLEGEAR.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






