Jika anda pernah menaip sesuatu di bar carian dan rasa kecewa kerana hasilnya langsung tidak seperti yang anda maksudkan, anda pasti faham betapa pentingnya fungsi itu. Ia boleh menentukan jatuh bangunnya mana-mana platform e-dagang. Kekecewaan digital akibat bar carian yang lemah, masalah logistik untuk mengekalkan konsistensi perkhidmatan di rangkaian hotel yang luas dan ketidakcekapan operasi aliran kerja tradisional merupakan perkara biasa.
Ketika jangkaan pelanggan di Malaysia semakin tinggi, isu-isu ini boleh menjadi “pembunuh senyap” kepada jualan dan menjejaskan reputasi jenama. Namun, sekilas masa depan berkuasa AI itu sudah pun berlaku di seberang Tambak. Di Singapura, Gill Capital Group (mengendalikan jenama seperti H&M di Indonesia dan Thailand), Frasers Hospitality dan FairPrice Group memanfaatkan penyelesaian ejen AI Google Cloud untuk menangani cabaran ini secara terus. Langkah-langkah ini boleh menjadi pelan asas untuk rakan setara di Malaysia menggunakan ciri yang sama.
Belanja dalam talian lebih bijak untuk e-dagang?

Bagi peruncit dalam talian, fungsi carian yang serabut sering menjadi halangan pertama dan terakhir sebelum pembelian. Pembeli dengan keperluan khusus dihidangkan keputusan yang tidak relevan atau lebih teruk, skrin “tiada hasil ditemui.” Gill Capital menyedari perkara ini dan melalui program AI Cloud Takeoff (AI CTO) Google Cloud, mereka melaksanakan penyelesaian untuk platform H&M: Vertex AI Search for Commerce.
Lebih daripada sekadar carian padanan kata kunci, Vertex AI Search for Commerce memahami niat di sebalik pertanyaan bahasa semula jadi termasuk dalam bahasa tempatan dan walaupun ada kesilapan ejaan. Bayangkan pembeli Malaysia menaip “baju raya terkini untuk lelaki” atau “kasut sukan selesa untuk larian jarak jauh.” AI ini boleh mentafsir makna, bukan sekadar perkataan, lalu memaparkan hasil yang lebih relevan. Selain itu, ejen AI perbualan yang dibina pada platform sama bertindak sebagai pembantu membeli-belah maya.
Ejen ini memberi cadangan peribadi, menjawab soalan tentang ketersediaan produk di kedai fizikal (menghubungkan dunia dalam talian dan luar talian) serta turut memperjelas polisi pemulangan. Bagi pemain e-dagang Malaysia daripada segmen fesyen hingga peruncit elektronik, pelaksanaan penyelesaian sebegini boleh menjadi pengubah permainan. Ia boleh meningkatkan kadar penukaran dan kepuasan pelanggan dengan menjadikan pengalaman membeli-belah dalam talian terasa intuitif dan diperibadikan untuk pengguna tempatan.
Transformasi landskap runcit seterusnya?

Selepas Gill Capital, peruncit terbesar di Singapura, FairPrice Group (FPG), kini menerajui penggunaan ejen AI untuk mentakrif semula pengalaman runcit untuk pelanggan dan kakitangan. Kerjasama diperluas dengan Google Cloud ini boleh menjadi pelan yang lebih menyeluruh untuk perniagaan runcit di Malaysia. Di “Store of Tomorrow” dan FairPrice Finest yang disebut tadi, FPG telah mengintegrasikan pembantu membeli-belah multimodal ke dalam Smart Carts.
Ini ialah sistem berkuasa di mana berbilang ejen AI bekerjasama memberikan bantuan mendalam. Contohnya, apabila pelanggan bertanya tentang “yam paste”, AI bukan sahaja mencari ramuan yang betul, malah mencadangkan item pelengkap, resipi dan padanan. Sistem ini dipacu oleh Vertex AI Search dan Gemini API yang turut memahami dialek serta istilah tempatan seperti “orh nee” (yam paste dalam dialek tempatan) atau “chye poh” (lobak masin).
Tahap panduan perbualan yang diperibadikan ini jauh melangkaui bar carian tipikal dan menawarkan gambaran masa depan membeli-belah dalam kedai yang lebih intuitif. Transformasi AI FPG bukan untuk pelanggan semata-mata, ia juga strategi teras untuk memperkasa kakitangan. FPG menggunakan Google Agentspace iaitu platform sehenti untuk membina dan mengurus ejen AI, memberikan warga kerja akses kepada alat canggih.
Contoh ketara ialah ejen kreatif khusus yang mengautomasi penciptaan iklan promosi untuk kempen dalam kedai. Ejen ini menggunakan model Imagen 4 dan Veo 3 di Google Cloud untuk menjana video dan visual berkualiti tinggi daripada prompt teks, mengurangkan masa dan kos penghasilan iklan sehingga 100 kali ganda. Bagi perniagaan di Malaysia, di mana pemasaran dan kecekapan operasi adalah kunci, aplikasi ini boleh sangat berguna.
Melicinkan perkhidmatan dan menjamin konsistensi dalam hospitaliti?

Dalam industri hotel, mengekalkan standard perkhidmatan tinggi merentas tenaga kerja yang pelbagai dan pelbagai lokasi bukan mudah. Setiap kali peralatan baharu dipasang atau prosedur dikemas kini, manual dan latihan perlu disemak serta diedarkan (proses yang memakan masa). Frasers Hospitality menangani perkara ini dengan membangunkan aplikasi berasaskan ejen AI. Menggunakan Vertex AI Google Cloud dan Gemini API, aplikasi ini menganalisis video latihan secara automatik untuk menjana Prosedur Operasi Piawai (SOP) dan carta alir.
Ia kemudiannya menyediakan maklumat itu kepada kakitangan melalui pangkalan ilmu lengkap dengan ciri terjemahan terbina dalam. Ini bagi memastikan semua kakitangan tanpa mengira bahasa ibunda atau lokasi mempunyai akses kepada maklumat yang sama dan terkini. Ia mempercepatkan latihan, mengurangkan usaha yang diperlukan dan membawa kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih konsisten.

Bagi rangkaian hotel dan pangsapuri servis di Malaysia yang beroperasi di seluruh negara, teknologi ini boleh menjadi kelebihan besar. Ia membolehkan onboarding kakitangan baharu dengan lebih cepat dan memastikan hotel di Pulau Pinang mengekalkan standard setara dengan hotel di Kuala Lumpur tanpa perlu ada seorang individu utama memantau 24/7. Apabila ditanya “Mengapa Google Gemini?”, Ian Loe, Pengarah Urusan, Kumpulan Digital dan Teknologi di Frasers Property, menekankan kos yang sangat berpatutan sekitar AS$100 sebulan.
Tambahnya, mereka boleh menggunakan model Gemini terus daripada kotak dan bergerak daripada reka bentuk ke prototaip dalam hanya 6 minggu. Hasil kebolehsalingoperasian ini juga, hartanah Fraser’s Hospitality di China misalnya boleh bekerjasama dengan DeepSeek tanpa sebarang masalah.
Masa depan berkuasa AI untuk Malaysia?

Walaupun projek-projek ini berlaku di Singapura, ia boleh menjadi contoh tentang apa yang mungkin dilaksanakan oleh perniagaan di Malaysia. Teknologi teras seperti Vertex AI Search untuk penemuan dan pengurusan ilmu yang pintar, Gemini API untuk penjanaan kandungan merentas format (teks, imej, video) dan Agent Development Kit untuk memudahkan pembinaan aplikasi ejen AI semuanya boleh disuaikan dengan keperluan pasaran tempatan.
Ketika organisasi di Malaysia berusaha meningkatkan pengalaman pelanggan dan memperoleh kelebihan daya saing, mengamalkan perkhidmatan berkuasa AI daripada Google Cloud boleh menjadi langkah penting ke arah masa depan yang lebih cekap, berpusatkan pelanggan dan maju daripada segi teknologi. Contoh-contoh dari Singapura ini bukan sekadar kajian kes yang menarik, ia boleh menjadi draf untuk transformasi dipacu AI versi Malaysia sendiri.
Apa pendapat anda? Bolehkah anda bayangkan perniagaan anda melaksanakan penyelesaian AI Google Cloud seperti ini? Adakah ia benar-benar akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos atau ia hanya relevan untuk pasaran Singapura? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







