Jabra memperkenalkan dua penambahan baharu dalam ekosistem kerja hibridnya menerusi siri fon telinga Evolve3 dan sistem persidangan video PanaCast Room Kit dengan fokus kepada komunikasi lebih jelas, mobiliti serta penggunaan berskala di peringkat organisasi. Siri Jabra Evolve3 direka khusus untuk kegunaan profesional dan ditawarkan dalam dua varian iaitu Evolve3 85 (over-ear) serta Evolve3 75 (on-ear).
Kedua-duanya menggunakan rekaan tanpa boom mic yang digabungkan dengan teknologi Jabra ClearVoice serta pemprosesan deep neural network (DNN) yang dilatih menggunakan lebih 60 juta ayat dunia sebenar. Ia turut menyokong Adaptive Active Noise Cancellation yang menyesuaikan tahap pembatalan hingar mengikut persekitaran selain ciri spatial sound.



Untuk sambungan, siri ini menggunakan Bluetooth Low Energy dengan sokongan Google Fast Pair tanpa memerlukan dongle, sokongan konfigurasi dan kemas kini melalui aplikasi Jabra Plus. Bateri pula mampu bertahan sehingga 37 jam dengan sokongan pengecasan pantas yang mana 10 minit pengecasan memberikan sehingga 10 jam penggunaan.
Model Evolve3 85 memfokuskan kepada penebatan bunyi maksimum dengan sehingga 25 jam masa panggilan dan 120 jam penggunaan media manakala Evolve3 75 menawarkan rekaan lebih ringan dan lut udara dengan 22 jam masa panggilan serta 110 jam penggunaan media. Evolve3 85 dijual pada harga RM3,000 manakala Evolve3 75 berharga RM2,300 dan kini tersedia melalui kedai rasmi dalam talian.


Bagi keperluan kolaborasi berkumpulan, PanaCast Room Kit diperkenalkan sebagai penyelesaian video pintar untuk bilik mesyuarat bersaiz sederhana hingga besar dengan sokongan konfigurasi satu, tiga atau lima kamera bergantung kepada susun atur ruang. Sistemnya menggunakan teknologi video panoramik 180 darjah bersama keupayaan multi-camera berasaskan AI untuk menjejak pembesar suara secara automatik, membingkai peserta secara dinamik serta memastikan liputan visual menyeluruh dalam bilik mesyuarat.
Ia turut merangkumi PanaCast 55 VBS sebagai video bar, SpeakerMic untuk liputan audio tambahan dan sistem kamera dengan teknologi penjejakan pembesar suara berasaskan AI bagi memastikan pengalaman mesyuarat lebih inklusif dan jelas kepada semua peserta termasuk yang berada secara jarak jauh. PanaCast Room Kit ditawarkan pada harga sekitar RM35,000 hingga RM75,000 dan dijangka tersedia di Malaysia pada suku kedua 2026.


Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






