Perkhidmatan multimedia digital Adobe Flash telah pun ditamatkan oleh Adobe secara rasmi pada 1 Januari 2021 dan Windows telah pun mengeluarkan kemas kini Windows 10 untuk membuang perisian itu. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pihak jahat di luar sana yang ingin memperdaya netizen dengan memberitahu bahawa Adobe Flash dalam komputer netizen perlu dikemas kini.
Pihak scammer dilihat menghantar sebuah pemberitahuan (notification) yang terpapar dalam pelayar laman web di mana netizen perlu “mengemas kini” Adobe Flash dengan menekan sebuah pautan (link). Jika anda menekan pautan tersebut, scammer akan memasang perisian hasad bernama One Updater di dalam komputer anda.

Perisian hasad itu mungkin mempunyai virus atau membolehkan scammer untuk mencuri data anda. Perlu diketahui bahawa Adobe Flash kini sudah pun dihentikan dan sebarang pemberitahuan atau pemasangan (installation) yang melibatkan Adobe Flash besar kemungkinan hanyalah satu penipuan untuk memasang perisan yang tidak diingini dalam komputer anda.
TechNave berharap para pembaca tidak terpedaya dengan taktik ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Komando






