fbpx
More

    Jangan tertipu! Ini cara untuk anda kesan iklan pekerjaan palsu di internet

    Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kadar inflasi tidak tentu dan nilai Ringgit yang tidak kukuh, ramai orang Malaysia ingin mencari peluang pekerjaan yang lebih baik sama ada di dalam atau luar negara. Ramai akan mencari iklan pekerjaan dalam internet, namun malangnya pada masa yang sama terdapat juga sejumlah kecil daripada iklan-iklan pekerjaan ini yang palsu dan lebih indah khabar dari rupa.

    Isu ini telah mengundang perhatian rakyat Malaysia baru-baru ini, terutamanya dengan kes kehilangan seorang wanita Malaysia yang hilang di Thailand selepas menerima iklan pekerjaan palsu dari negara tersebut. Bagi membantu anda mengelakkan diri daripada menjadi mangsa seterusnya, ini adalah beberapa panduan yang anda boleh ikut:

    Kerja yang senang tetapi dengan gaji yang terlalu tinggi

    Sesetengah iklan pekerjaan akan memaparkan teks “Tiada pengalaman pekerjaan diperlukan!” dan ini pasti akan menarik minat pemohon kerana selalunya sebuah pekerjaan kosong memerlukan sedikit pengalaman pekerjaan. Sungguh pun begitu, jika anda terjumpa iklan pekerjaan sedemikian dan gajinya pula seperti terlalu tinggi (seperti RM9,000 sebulan atau RM200 sejam) ini adalah satu petanda jelas bahawa itu adalah iklan palsu.

    Mereka yang memohon pekerjaan melalui iklan palsu seperti ini sering mendapat tugasan yang berbeza daripada yang diiklankan, seperti menipu orang lain (scam) atau lebih teruk lagi, terpaksa “menjual” badan.

    Pekerjaan di luar negara yang akan membayar semua kos penerbangan dan penginapan

    Kebanyakan rakyat Malaysia tidak pernah pergi ke luar negara, jadi apabila terdapat iklan pekerjaan yang menyatakan “Mari kerja di luar negara, semua kos akan ditanggung!”, ramai rakyat Malaysia akan mendaftarkan diri untuk peluang ini.

    Malang sekali, dalam kebanyakan kes, ini adalah taktik penipu atau scammer untuk membawa anda pergi ke sebuah negara yang asing buat anda dan anda mungkin tidak mengenali hak di negara tersebut, kemudian pihak penipu itu akan mendesak anda untuk percaya bahawa pihak berkuasa dalam negara itu tidak akan melindungi anda, terutamanya jika penipu itu sudah pun merampas pasport dan lain-lain dokumen pengenalan diri.

    Kami tidak nafikan, mungkin ada peluang pekerjaan antarabangsa sebenar yang menawarkan manfaat seperti ini (beberapa rakan penulis sendiri menerima pekerjaan dengan manfaat sama) namun biasanya syarikat yang sanggup membawa anda ke luar negara memerlukan anda untuk mempunyai kemahiran unik, pengalaman pekerjaan yang luas dan portfolio yang cemerlang.

    Oleh yang demikian jika sebuah peluang pekerjaan di luar negara itu tidak memerlukan kriteria tersebut, besar kemungkinan ia adalah peluang pekerjaan palsu. Jika ada peluang pekerjaan palsu yang sanggup menanggung kos penerbangan dan penginapan, selalunya ia akan dijadikan sebuah hutang yang anda perlu bayar sewaktu bekerja.

    Anda perlu bayar wang terlebih dahulu

    Tidak kisahlah sama ada sebuah yuran pemprosesan itu meminta RM100 atau RM1,000, sebarang peluang pekerjaan yang memerlukan anda untuk membayar wang terlebih dahulu selalunya adalah pekerjaan palsu dan sekadar menawarkan janji-janji kosong. Malah ada juga yang akan meminta lebih banyak yuran tambahan, supaya kononnya anda boleh menerima pekerjaan tersebut.

    Pekerjaan seperti ini selalunya menawarkan gaji lumayan seperti RM200 sejam, jadi ramai pemohon sanggup membayar yuran pemprosesan ini dengan harap mereka boleh mendapat pekerjaan itu untuk mendapatkan semula duit yang telah dilaburkan. Akan tetapi, para pemohon ini akan kehilangan duit mereka terus dan hanya akan sedar tentangnya apabila terlalu banyak wang sudah dibazirkan.

    Mereka mahukan semua maklumat peribadi sebelum temuduga

    Sewaktu anda membuat permohonan untuk sebarang peluang pekerjaan, anda perlu memberikan resume atau CV yang sudah pun mengandungi banyak maklumat peribadi seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan, alamat dan sebagainya. Walaupun begitu, jika sebuah majikan ingin meminta nombor akaun bank atau kad kredit sebelum temuduga, ini adalah satu lagi petanda besar bahawa itu adalah peluang pekerjaan palsu.

    Besar kemungkinan, “majikan” ini sebenarnya adalah scammer yang ingin mencuri identiti anda dan akan menggunakan maklumat anda untuk membuat peminjaman wang atau menggodam akaun bank anda untuk mencuri segala simpanan wang anda.

    Kami pasti tidak ada satu pun majikan sebenar yang akan meminta maklumat perbankan anda sebelum menawarkan peluang pekerjaan. Anda hanya perlu memberi maklumat seperti ini selepas anda menerima pekerjaan tersebut, untuk maklumat seperti akaun bank, KWSP dan PERKESO.

    Pekerjaan itu boleh diterima dengan sangat senang

    Apabila anda menghadiri sebuah temuduga pekerjaan bergaji tinggi dan mendapati semua soalan yang ditanyakan itu adalah terlalu mudah, itu mungkin menunjukkan bahawa ini hanyalah sebuah iklan pekerjaan palsu. Gaji tinggi selalunya memerlukan pengalaman luas dan kemahiran tinggi, jadi jika anda tidak memenuhi kriteria tersebut namun masih melepasi temuduga pekerjaan, anda harus berhati-hati dengan peluang pekerjaan itu.

    Kebanyakan pekerjaan bergaji tinggi memerlukan anda untuk melepasi beberapa peringkat temuduga, tidak kisahlah setinggi mana pun kelayakan atau pengalaman anda. Ini adalah kerana majikan ingin mengetahui jika gaji tinggi yang diberikan itu berbaloi dengan apa yang anda boleh berikan kepada mereka. Jika mereka tidak kisah tentang kemahiran anda, itu mungkin adalah peluang pekerjaan palsu.

    Ini hanyalah beberapa panduan dan tips untuk mengesan peluang pekerjaan palsu dalam internet. Tambahan lagi, kami mencadangkan anda untuk hanya mencari peluang pekerjaan dalam laman web khas atau laman web rasmi majikan tersebut, kerana peluang pekerjaan palsu selalunya hanya akan disebarkan dalam media sosial, atau dihubungi terus melalui mesej peribadi dalam SMS atau WhatsApp.

    Jika anda ingin mengetahui lebih banyak tentang peluang pekerjaan palsu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyediakan e-buku khas mengenai topik ini dan ia boleh dimuat turun daripada laman web rasmi PDRM. Jika anda mengetahui nombor telefon atau akaun bank tentang peluang pekerjaan yang ragu-ragu, anda boleh semak dalam laman web Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

    E-buku oleh PDRM
    Laman web semakan oleh JSJK

    Kami harap ini boleh membantu anda daripada menjadi mangsa peluang pekerjaan palsu. Jika anda mengetahui lebih banyak tips yang berguna, kongsikannya di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    [Diterjemahkan daripada TechNave]

     

    Artikel Terkini

    Laporan IDC dedahkan HONOR menguasai pasaran telefon pintar di China

    Selain berita tentang ketersediaan PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR dalam pasaran Malaysia pada 5 Mei nanti, laporan terbaharu daripada International Data Corporation...

    PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR tersedia di HONOR Experience Store terpilih pada 5 Mei...

    PORSCHE DESIGN HONOR Magic6 RSR yang hangat diperkatakan ketika kemunculannya kini boleh dibeli di kedai HONOR Experience Store terpilih mulai 5 Mei...

    Astro bakal tayangkan semua perlawanan Liga Malaysia dalam HD, UHD secara percuma!

    Liga Malaysia musim baharu 2024/25 yang membawakan sebanyak 219 perlawanan bakal ditayangkan secara Definisi Tinggi (HD) di Astro bermula 10 Mei ini....

    Google membayar Apple ~RM95 bilion pada 2022 kerana jadi enjin carian utama peranti

    Google membayar Apple $20 bilion (~RM95 bilion) pada 2022 untuk menjadi enjin carian utama bagi Safari pada iPhone, iPad dan Mac, lapor...

    Acer Nitro V 16 dilancar di Malaysia: Komputer riba “gaming” mampu milik bermula RM4,899

    Pada hari ini, Acer Malaysia memperkenalkan komputer riba gaming mampu milik Acer Nitro V 16 iaitu komputer Nitro pertama yang dilengkapi pemproses...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X