fbpx
More

    Kamera 64MP? 108MP? Penting sangatkah jumlah megapiksel dalam kamera?

    2021 bakal menjadi sebuah tahun yang diingati dalam sejarah telefon pintar di mana sensor kamera 108MP semakin banyak terdapat dalam pelbagai jenis telefon dan bukan lagi ciri yang eksklusif untuk telefon andalan. Terbaru, Redmi Note 10 Pro membuktikan bahawa pelanggan tidak perlu lagi berbelanja besar untuk mendapatkan kamera dengan megapiksel tinggi.

    Akan tetapi, adakah jumlah megapiksel tinggi seperti 108MP merupakan satu-satunya ciri yang akan menentukan kualiti gambar yang diambil oleh telefon anda? Ia mungkin akan mengambil gambar yang lebih cantik berbanding kamera dengan bilangan megapiksel yang lebih rendah, namun jumlah megapiksel sebenarnya tidak mendatangkan kesan yang besar dalam mutu fotografi anda. Dalam artikel ini, kami akan terangkan kenapa anda tidak perlu risau jika telefon idaman anda tidak mempunyai jumlah megapiksel yang tinggi.

    Apa itu piksel sebenarnya?

    Jika anda lihat skrin anda dengan sangat dekat, anda boleh lihat jutaan piksel kecil yang berubah warna untuk menghasilkan imej

    Piksel merujuk kepada titik cahaya yang dihasilkan pada mana-mana skrin elektronik dan warna piksel akan berubah mengikut imej yang ingin dipaparkan. Jika anda teliti pada skrin telefon atau komputer anda dengan sangat dekat, anda boleh lihat kotak-kotak kecil yang berubah warna untuk menghasilkan imej yang anda lihat (ia lebih mudah dilihat pada skrin dengan resolusi HD atau 720p).

    Sensor kamera anda juga mempunyai piksel namun ia bukanlah bertujuan memaparkan cahaya, sebaliknya ia menerima cahaya daripada luar untuk menukarkannya kepada signal elektrik yang akan diproses oleh pemproses imej dalam cipset kepada sebuah gambar. Jika sensor sesebuah kamera mempunyai 108MP, maksudnya sensor itu mempunyai 108 juta piksel yang boleh menerima cahaya. Untuk sensor 64MP pula, 64 juta piksel akan menerima cahaya.

    Jadi anda boleh nilai di sini yang jumlah piksel tinggi membenarkan sensor untuk menerima lebih banyak cahaya untuk ditukarkan kepada signal elektrik.

    Jadi bilangan piksel yang tinggi akan tingkatkan mutu gambar?

    Bilangan cahaya yang diterima oleh sensor memang akan mempengaruhi kualiti gambar dengan ketara, namun megapiksel bukanlah ukuran yang sesuai digunakan untuk menilai cahaya yang diterima oleh sensor.

    Sebaliknya, saiz sensor lebih banyak mempengaruhi jumlah cahaya yang diterima olehnya berbanding jumlah megapiksel. Oleh sebab itulah kamera DSLR yang mempunyai saiz sensor sebesar 1 inci boleh mengambil gambar yang jauh lebih baik berbanding kamera telefon walaupun dengan megapiksel lebih rendah seperti 12MP atau 20MP pada kamera DSLR. Lebih besar saiz sensor, lebih banyak cahaya yang boleh diterima.

    Namun, sudah tentu kita tidak boleh bandingkan kamera DSLR dengan kamera telefon kerana telefon tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menempatkan saiz sensor yang lebih besar. Oleh itu, lebih wajar untuk kita bandingkan kebolehan sensor di antara telefon.

    Kamera mempunyai ruang yang banyak untuk menempatkan sensor besar, manakala telefon terpaksa menggunakan sensor kecil bagi mengekalkan reka bentuk yang mudah dipegang

    Akan tetapi, jika dibandingkan di antara telefon pintar sekali pun, telefon dengan kamera 108MP tidak berada dalam senarai kamera telefon terbaik. Jika dilihat pada ranking DXOMARK, kamera telefon dengan megapiksel yang lebih rendah menjuarai carta kamera terbaik seperti HUAWEI Mate 40 Pro+ (50MP), iPhone 12 Pro Max (12MP) dan vivo X50 Pro+ (50MP).

    Sekali lagi, ini adalah kerana telefon-telefon tersebut mempunyai saiz sensor yang lebih besar, walaupun perbezaannya sekadar sedikit sahaja. Sebagai contoh, mari kita lihat pada saiz sensor kamera 108MP terbaru, Redmi Note 10 Pro. Ia mempunyai saiz sensor 1/1.52 inci (atau 0.6579 inci), lebih kecil berbanding HUAWEI Mate 40 Pro+ (1/1.28 atau 0.7813 inci), Samsung Galaxy S21 Ultra (1/1.33 atau 0.7519 inci) atau vivo X50 Pro+ (1/1.31 atau 0.7634 inci).

    Walaupun Redmi Note 10 Pro tidak tersenarai dalam DXOMARK lagi, kita boleh andaikan bahawa prestasi fotografinya tidak akan sepadan dengan telefon kelas andalan yang biasanya mempunyai saiz sensor kamera yang lebih besar.

    Jadi apa kelebihan megapiksel tinggi ni?

    Jika dua sensor kamera dengan saiz yang sama dibandingkan, jumlah megapiksel mungkin akan mendatangkan perbezaan di mana bilangan mekapiksel yang lebih tinggi akan menghasilkan mutu gambar yang lebih cantik.

    Manfaat utama megapiksel yang lebih tinggi adalah resolusi keseluruhan yang lebih tinggi untuk sesuatu imej. Ini bermaksud pengguna boleh memotong (crop) gambar dengan sangat kecil dan mutu gambar masih kekal cantik walaupun ia dipotong dengan agak banyak. Selain itu, anda juga boleh zum dengan lebih jauh, sebelum anda boleh lihat sebarang efek kabur pada gambar.

    Beza gambar yang diambil dengan kamera 12MP dan kamera 64MP dalam Samsung Galaxy S20+, kamera 64MP membenarkan kita untuk zum atau potong (crop) dengan lebih jauh

    Selain itu, jumlah megapiksel yang lebih tinggi juga akan menangkap lebih banyak informasi berbanding megapiksel yang lebih rendah, membuatkan keseluruhan gambar nampak lebih jelas dan terang. Informasi yang lebih banyak juga bermaksud ia akan mengambil lebih banyak ruang dalam storan telefon anda, jadi jika anda kerap mengambil gambar dalam resolusi 64MP atau 108MP, anda akan kehabisan ruang memori dengan cepat.

    Jika anda berminat untuk mencetak gambar pula, gambar beresolusi tinggi boleh menghasilkan butiran yang cantik pada hasil cetakan anda. Gambar dengan resolusi rendah boleh menurunkan mutu gambar yang dicetak kerana sebarang cacat cela akan terpapar dengan sangat jelas.

    Sebenarnya, mutu keseluruhan sesuatu gambar bukanlah terletak pada saiz sensor atau bilangan piksel sahaja kerana terdapat pelbagai lagi faktor penting seperti kualiti lensa dan teknologi pemprosesan imej dalam cipset telefon.

    Kesimpulan yang kami ingin utarakan dalam artikel ini adalah jumlah megapiksel bukanlah satu-satunya penentu mutu fotografi telefon anda. Jika telefon andalan idaman anda tidak mempunyai 108MP, janganlah terlalu kecewa kerana pada pendapat kami, ia sekadar taktik pemasaran yang memang boleh mengundang lebih banyak pelanggan. Malah, jika saya ingin menjual sebuah jenama telefon pintar yang mempunyai kamera 108MP, saya pasti akan mengetengahkan ciri 108MP itu dalam kempen pengiklanan saya.

    Telefon pintar HUAWEI seperti HUAWEI P40 Pro+ seperti dalam gambar di atas terkenal dengan fotografi yang cantik kerana sensor kameranya yang lebih besar berbanding telefon-telefon lain

    Menurut khabar angin, telefon pintar andalan HUAWEI P50 yang akan dilancar sekitar bulan April atau Mei akan dilengkapi kamera dengan saiz sensor 1 inci. Jika khabar ini tepat, ia bakal melakar sejarah baru dalam industri telefon pintar kerana sensor 1 inci bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan dalam bentuk telefon yang nipis dan kecil. Kali terakhir sebuah telefon dilengkapi sensor kamera 1 inci adalah Panasonic Lumix CM1 pada 2014 namun ia gagal mendapat sambutan kerana reka bentuknya yang tebal.

    Kongsi pendapat anda tentang artikel ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Ant International tubuhkan Pusat Niaga Digital baharu di Malaysia, tawarkan lebih 500 peluang pekerjaan

    Syarikat pembayaran digital dan teknologi kewangan (fintech) antarabangsa, Ant International, mengumumkan penubuhan Pusat Niaga Digital yang terbaru di Malaysia, terletak dalam menara...

    Xsolla Curine Video Game Academy dibuka di Malaysia untuk bangunkan bakat pembina “game” tempatan

    Syarikat kewangan video game global, Xsolla, telah bekerjasama dengan syarikat pembina usaha niaga (venture builder) antarabangsa, Curine Ventures, untuk membuka Xsolla Curine...

    Siri HUAWEI Pura 70 dilancar: Kirin 9010 dan sensor kamera 1 inci 50MP bermula...

    HUAWEI telah memperkenalkan telefon andalan siri HUAWEI Pura 70 di China, menampilkan empat model iaitu Pura 70, Pura 70 Pro, Pura 70...

    TP-Link meperkenalkan WiFi 7 di Malaysia: Menggandakan kelajuan internet secara wayarles

    TP-Link, penyedia rangkaian WiFi dan peranti rumah pintar terkemuka di dunia, siap untuk merevolusi cara kita mengakses internet, sejajar dengan visi kerajaan...

    Siri Samsung Galaxy S25 dijangka sokong kemas kini AI Gemini Nano generasi ke-2 Google

    Samsung memperkenalkan Galaxy AI dengan siri Galaxy S24, bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Kini, khabar angin mencadangkan bahawa kemas kini Gemini Nano...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X