Kerajaan Malaysia sekali lagi menekankan bahawa melarang game dalam talian seperti Roblox bukanlah penyelesaian terbaik untuk isu keselamatan kanak-kanak. Menurut laporan BERNAMA, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menjelaskan bahawa langkah yang lebih berkesan ialah memastikan platform permainan dilengkapi ciri keselamatan khusus untuk melindungi pengguna bawah umur. Perkara ini turut dibincangkan bersama Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Teo berkata, larangan total hanya menghalang kanak-kanak daripada bermain, tetapi tidak menyelesaikan punca masalah. Sebaliknya, platform perlu menyediakan perlindungan seperti kawalan keselamatan, pengesahan umur dan sistem pemantauan. Beliau menegaskan bahawa kementeriannya komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk penyedia platform permainan, aktivis, NGO dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terus terpelihara dalam dunia digital.
Sebagai usaha ke arah itu, Roblox sebelum ini memperkenalkan sistem pengesahan umur menggunakan Facial Age Estimation atau ID verification termasuk untuk kanak-kanak seawal sembilan tahun. Melalui kaedah ini, pengguna hanya boleh berborak dengan rakan sebaya yang sesuai dan akses chat hanya dibuka selepas pengesahan wajah. Keperluan ini sudah dilaksanakan di Australia, New Zealand dan Belanda serta dijangka diperluaskan ke seluruh dunia pada awal Januari sebagai satu langkah penting ke arah ekosistem permainan yang lebih selamat.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






