Korea Selatan secara rasmi telah menguatkuasakan undang-undang bagi mengawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI). Langkah ini menjadikan mereka antara negara terawal di dunia yang mempunyai kerangka undang-undang khusus untuk menangani cabaran teknologi masa hadapan.
Undang-undang baharu itu menetapkan bahawa mana-mana syarikat yang menghasilkan kandungan menggunakan AI generatif seperti gambar atau video kini diwajibkan untuk meletakkan label yang jelas. Ini bertujuan untuk memerangi penyebaran berita palsu dan kandungan deepfake yang semakin berleluasa.
Selain itu, sistem AI yang dikategorikan sebagai “berimpak tinggi” (seperti yang digunakan dalam sektor kesihatan, kewangan dan keselamatan awam) perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat sebelum boleh digunakan secara meluas. Walaupun undang-undang ini bertujuan melindungi pengguna, komuniti syarikat pemula di Korea Selatan menyuarakan kebimbangan.
Mereka berpendapat syarat pematuhan yang ketat ini boleh menambah kos operasi yang tinggi dan mungkin membantutkan inovasi berbanding pesaing dari luar negara. Dalam perkembangan lain, kerajaan Malaysia melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) juga sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) AI sendiri yang dijangka akan dibentangkan pada Jun 2026.
Langkah Korea Selatan ini dilihat sebagai “eksperimen awal” yang akan menjadi rujukan Malaysia dalam mengimbangi antara keperluan keselamatan rakyat dan sokongan terhadap pertumbuhan ekonomi digital yang bernilai bilion ringgit. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reuters






