U Mobile hari ini secara rasmi mencapai 90 peratus Liputan 5G Kawasan Berpenduduk (CoPA) di seluruh negara. Pelancaran pencapaian dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil bersama Timbalan Menteri, YB Teo Nie Ching, pada 6 Oktober 2026.
Pencapaian terbaharu memenuhi sasaran U Mobile ULTRA5G yang sebelum ini dijadualkan pada Julai 2027 iaitu kira-kira sembilan bulan lebih awal daripada jadual asal. Pelaksanaan pantas dilakukan bawah Model Rangkaian Dwi 5G Malaysia selepas pengenalan awalnya pada Julai 2025 dan pencapaian melepasi 80 peratus CoPA pada Mac 2026.

Rangkaian penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu turut diiktiraf oleh Ookla sebagai Rangkaian Mudah Alih Terbaik dan Rangkaian 5G Terpantas di Malaysia selain menerima penilaian prestasi tertinggi daripada Opensignal. U Mobile juga mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records bagi Pelaksanaan Rangkaian 5G Terpantas.
Bagi meningkatkan kualiti sambungan di dalam bangunan, penyedia perkhidmatan berkenaan telah melepasi lebih 250 tapak Liputan Dalam Bangunan (IBC) di seluruh negara. Bergerak ke hadapan, U Mobile merancang untuk memanfaatkan asas ULTRA5G ini bagi membangunkan penyelesaian 5G-Advanced dan teknologi berteraskan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






