Jika anda pernah menerima panggilan telefon yang tidak mempunyai sebarang suara, terdapat kemungkinan bahawa ia sebenarnya adalah perakam suara AI yang digunakan oleh scammer. Dalam sebuah amaran terkini oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), sebuah taktik penipuan sudah mula muncul di mana ia menggunakan konsep panggilan telefon yang senyap.
Menurut sumber, mangsa akan menerima panggilan telefon yang langsung tidak mempunyai sebarang suara atau audio daripada pihak pemanggil. Kesenyapan ini mempunyai tujuan yang licik di mana scammer akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengumpul metadata suara anda, kemudian klon dan menyalahgunakannya.
Scam ini bermula apabila anda menerima panggilan telefon daripada nombor telefon yang tidak diketahui, dari dalam negara atau antarabangsa. Apabila anda menjawab panggilan telefon itu, tiada audio akan dimainkan langsung. Jika anda menamatkan terus panggilan itu, anda mungkin tidak akan mengalami sebarang masalah.
Sungguh pun begitu, jika anda mula bercakap walaupun sedikit seperti “hello”, scammer mungkin akan merakam suara anda. Rakaman tersebut kemudian akan diproses oleh AI untuk menghasilkan klon suara yang boleh digunakan untuk menyamar sebagai diri anda.
Scammer boleh memanggil ahli keluarga anda untuk berpura-pura seperti anda berada dalam situasi kecemasan. Mereka juga boleh menghubungi pihak bank untuk menyamar sebagai anda dan melaksanakan sistem pengesahan suara.
Apabila anda menerima panggilan telefon seperti ini, ia menandakan kepada scammer bahawa anda nombor telefon anda adalah “hidup”. Apabila ia ditanda, nombor anda mungkin akan dimasukkan dalam sebuah senarai yang akan dijual kepada scammer lain, lantas membuka anda kepada lebih banyak panggilan atau mesej scam.
Scam yang menyalahgunakan teknologi AI melambangkan sebuah evolusi dalam taktik penipuan terkini. Apa yang membuatkan taktik ini merisaukan adalah berbeza dengan taktik lama yang bergantung kepada memperdaya dan memaksa mangsa, taktik ini menggunakan kaedah pemerolehan data secara pasif.
Memandangkan panggilan scam sudah pun menjadi masalah yang besar kerana mereka kerap menyamar sebagai bank, agensi-agensi kerajaan dan penghantar pakej, taktik baharu yang menggunakan AI ini merumitkan lagi masalah panggilan telefon scam. Oleh yang demikian, cara paling efektif untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa adalah terus berdiam diri jika anda menerima panggilan telefon yang senyap kemudian tamatkan panggilan secepat mungkin.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Star







