Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sebanyak 549 laman web lucah dan 69 laman web pelacuran telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh 1 Januari 2024 hingga 1 Jun 2024.
Di samping itu, MCMC turut menurunkan 308 kandungan lucah dan 838 kandungan berunsur pelacuran di beberapa platform media sosial, termasuk X dan Telegram. MCMC juga sedang menyiasat tujuh kes melibatkan penyebaran kandungan lucah, dan akan terus memantau berdasarkan aduan yang diterima daripada pihak berkuasa atau orang awam.
Beliau turut menjelaskan bahawa sesi libat urus akan diadakan di antara Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil, dengan penyedia-penyedia platform media sosial bagi memantau dan mengawal kandungan yang memudaratkan dalam platform tersebut.
Dalam pada itu, Teo masih menunggu maklum balas daripada platform media sosial X, selepas mereka membenarkan pengguna memuat naik, menonton dan menyebar kandungan lucah. MCMC telah pun menghantar surat bantahan kepada pihak X bahawa langkah tersebut melanggar undang-undang serta bercanggah dengan prinsip Rukun Negara, budaya dan agama dalam Malaysia.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA






