MediaTek, syarikat semikonduktor terkemuka dari Taiwan, mengumumkan akan memperkenalkan cip Dimensity generasi baharu pada 23 Disember 2024 jam 3 petang waktu tempatan. Walaupun nama rasmi cip tersebut masih dirahsiakan, ramai menjangkakan salah satunya ialah cip Dimensity 8400.
Menurut maklumat yang bocor daripada sumber Digital Chat Station, cipset Dimensity 8400 dikatakan akan menggunakan proses 4nm dengan seni bina 1+3+4. Cip ini juga dilengkapi GPU Immortalis-G720 MC7 dan dilaporkan mencatat lebih 1.8 juta mata dalam ujian penanda aras AnTuTu.

Salah satu telefon pintar pertama yang bakal menggunakan cip ini ialah Redmi Turbo 4 yang baru-baru ini menjadi bualan hangat di kalangan peminat teknologi. Pelancaran cip Dimensity generasi baru ini dijangka membawa prestasi lebih tinggi dan teknologi terkini serta mengukuhkan lagi kedudukan MediaTek dalam pasaran cip pemprosesan mudah alih.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Weibo






