Beberapa hari yang lalu, OnePlus Malaysia telah melancarkan jam tangan pintar OnePlus Watch bersama telefon andalan siri OnePlus 9. OnePlus Watch adalah jam tangan pertama dari OnePlus dan ianya hadir dengan beberapa spesifikasi menarik seperti skrin AMOLED dan ciri kalis air IP68 & 5ATM.
Terbaru, OnePlus China memberitahu bahawa mereka akan melancarkan OnePlus Watch versi Cyberpunk 2077. Kepada yang tidak tahu, Cyberpunk 2077 adalah sebuah game mengenai dunia teknologi masa depan dan ia mempunyai peminat yang ramai.
Melihat kepada video yang ditunjukkan, jam tangan versi baru ini akan mempunyai reka bentuk dan warna baru. Ia dilihat hadir dengan tali hitam berjaring kuning dan mempunyai logo game Cyberpunk 2077.
Selain itu, jam tangan versi istimewa ini juga akan dilengkapi muka jam khas berkonsepkan Cyberpunk 2077. Untuk spesifikasi lain, ia dijangka akan kekalkan RAM 1GB, storan 4GB, pengecasan Warp Charge dan ciri kalis air yang sama.
OnePlus Watch adalah peranti kedua OnePlus yang mendapat versi istimewa ini, selepas OnePlus 8T pada bulan November lalu.
Adakah anda meminati OnePlus Watch versi Cyberpunk ini? Komen pendapat anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber : GSMArena






