OpenAI telah melancarkan GPT-5.2 hanya sebulan selepas memperkenalkan GPT-5.1, menandakan lonjakan besar dalam keupayaannya untuk kerja profesional. Model baharu ini direka untuk membantu pengguna menyiapkan tugasan dengan lebih pantas dan cekap termasuk mencipta spreadsheet, membina pembentangan, menulis kod, memahami konteks panjang, menggunakan alat dan mengendalikan projek berbilang langkah.
GPT-5.2 turut meningkatkan kecerdasan umum, pemahaman visual dan kebolehan menangani dokumen besar seperti laporan, kontrak dan projek berbilang fail. Ia juga kurang melakukan halusinasi berbanding GPT-5.1 dan lebih tepat dalam mentafsir imej seperti tangkapan skrin dan diagram teknikal. Menurut OpenAI, GPT-5.2 mengatasi pakar industri dalam tugasan melibatkan 44 jenis pekerjaan, mencatat skor 70.9% dalam ujian GDPval, jauh lebih tinggi berbanding GPT-5.1.
Bagi pengguna ChatGPT, GPT-5.2 menawarkan pengalaman lebih stabil, teratur dan memiliki tona perbualan lebih hangat. Tiga variasi disediakan iaitu GPT-5.2 Instant untuk tugasan harian, GPT-5.2 Thinking untuk tugas kompleks seperti penyusunan dokumen panjang dan pengekodan serta GPT-5.2 Pro untuk soalan yang memerlukan jawapan berkualiti tinggi. Ketiga-tiganya telah dilancarkan kepada pengguna berbayar dengan API tersedia untuk pembangun.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: MacRumors







