fbpx
More

    Pakej telko yang manakah paling sesuai untuk golongan B40?

    Pada minggu lepas, kerajaan telah melancarkan program Jaringan Prihatin yang bertujuan membantu rakyat dalam golongan B40 untuk memperoleh akses kepada internet dengan harga yang berpatutan. Kerajaan telah memperuntukkan RM3.5 bilion kepada program ini dan kebanyakan syarikat telekomunikasi tempatan telah bekerjasama dengan kerajaan demi menjayakan inisiatif ini.

    Buat masa ini, penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang layak di kalangan warga B40 boleh memilih mana-mana syarikat telekomunikasi yang menawarkan faedah unik di kalangan mereka, namun semuanya menawarkan subsidi sekurang-kurangnya RM180 untuk pelan internet atau peranti elektronik.

    Syarikat telko ini termasuklah Celcom, Maxis, U Mobile dan Digi. Berikut adalah perbandingan ringkas terhadap faedah yang ditawarkan oleh keempat-empat syarikat di atas:

    Celcom

    Celcom menawarkan telefon pintar percuma kepada pelanggan di kalangan B40. Dengan bayaran pendahuluan bermula RM60, Celcom menawarkan pelbagai jenis peranti percuma seperti OPPO A15s, Nokia C2, Samsung Galaxy A02, realme C11 dan banyak lagi.

    Celcom juga menawarkan tambahan rebat sebanyak RM60 di atas rebat RM300 asal yang disediakan oleh kerajaan dalam program Jaringan Prihatin, meningkatkan keseluruhan rebat yang diterima oleh pelanggan sehingga RM360.

    Satu lagi kelebihan pada Celcom adalah mereka merupakan penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terluas dalam negara. Menurut laporan oleh firma Opensignal, Celcom mempunyai rangkaian 4G yang lebih besar berbanding syarikat telko lain, jadi majoriti rakyat Malaysia boleh memilih Celcom untuk perkhidmatan telko mereka.

    Jadi jika anda tidak mempunyai peranti langsung, pakej yang ditawarkan oleh Celcom ini adalah sangat menarik. Telefon percuma ini juga akan diberikan untuk pelan prabayar dan pascabayar, bermula RM28 sebulan.

    Perlu diingati bahawa semua telefon yang ditawarkan secara percuma oleh Celcom adalah telefon kelas permulaan yang mempunyai harga asal RM1,000 ke bawah, jadi anda tidak boleh menjangkakan prestasi flagship dalam telefon-telefon ini. Layari laman web Celcom untuk maklumat lanjut tentang pakej ini.

    Maxis

    Berlainan dengan Celcom, Maxis menawarkan pelbagai pilihan telefon dan tablet murah untuk pelan pascabayar yang berharga RM60 untuk 12 bulan dan ke atas. Ini termasuklah Samsung Galaxy A32 pada harga RM99, Samsung Galaxy Tab A 8.0 pada harga RM1, iPhone XR pada harga RM1,399 dan banyak lagi. Maxis adalah satu-satunya syarikat telko yang menawarkan iPhone XR dalam program Jaringan Prihatin.

    Jika pelanggan di kalangan B40 masih tidak mempunyai wang yang cukup untuk mendapatkan peranti baru, Maxis membenarkan program pertukaran dengan telefon lama untuk mengurangkan lagi harga telefon baru.

    Walau bagaimanapun, Maxis tidak menawarkan sebarang peranti percuma buat pelanggan pakej ini, oleh itu mereka yang tidak memiliki sebarang gajet perlu memilih telko yang lain. Ini masih belum dikira lagi untuk bayaran pendahuluan yang bermula daripada RM90.

    Selain itu, rangkaian Maxis juga telah dikenal pasti sebagai rangkaian telekomunikasi terbaik untuk gaming, menurut laporan oleh firma telekomunikasi Opensignal. Jika anda gemar bermain game dalam masa lapang atau ingin mengasah skil untuk memenangi kejohanan game, Maxis adalah pilihan yang sesuai untuk anda.

    Buat mereka yang sudah pun memiliki tablet atau telefon, tawaran Maxis ini mungkin adalah pilihan yang baik. Layari laman web Maxis untuk maklumat lanjut tentang pakej ini.

    U Mobile

    U Mobile menawarkan pelan pascabayar Unlimited Postpaid Internet GX50 pada harga yang sangat menarik iaitu RM25 sebulan sahaja, membuatkannya pelan pascabayar yang paling mampu milik untuk penerima Jaringan Prihatin.

    Menurut laporan Opensignal, rangkaian U Mobile menyediakan kualiti panggilan suara (voice app experience) yang paling lancar dan jelas, membuatkan pengguna tidak mendengari bunyi-bunyi aneh atau statik yang boleh mengganggu komunikasi. Buat mereka yang kerap menggunakan internet untuk mesyuarat dalam talian atau Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan bergantung kepada komunikasi suara yang jelas, U Mobile adalah pilihan tepat untuk anda.

    Selain itu, U Mobile juga menawarkan telefon percuma Samsung Galaxy A02 namun ia hanyalah untuk penerima Jaringan Prihatin yang mempunyai keluarga, manakala mereka yang masih bujang pula perlu membeli telefon secara berasingan dengan harga bermula RM120.

    Untuk mendapatkan telefon percuma sekali pun, ia hanya ditawarkan untuk pelan RM50 ke atas. Oleh itu, tawaran U Mobile ini mungkin sesuai buat mereka yang sudah memiliki telefon dan ingin mendapatkan pelan yang sangat murah. Layari laman web U Mobile untuk maklumat lanjut tentang pakej ini.

    Digi

    Digi menawarkan pelbagai telefon untuk pelan prabayar dan pascabayar yang terlibat dalam Jaringan Prihatin, namun pelanggan hanya ditawarkan satu sahaja jenis telefon percuma iaitu Samsung Galaxy A02. Jika pelanggan boleh membeli telefon, Digi menawarkan pilihan seperti vivo Y12s, OPPO A15 dan vivo Y20.

    Pelanggan yang memilih subsidi peranti perlu membayar pendahuluan sebanyak RM100 bagi kedua-dua pelan pascabayar dan prabayar. Untuk pelan pascabayar: RM10 setiap bulan akan direbatkan selama sepuluh bulan dan pelanggan akan juga menerima 2GB data harian percuma selama setahun.

    Bagi pelanggan prabayar pula, melanggan akan menerima akses internet berkelajuan tinggi selama tiga bulan (30GB sebulan dengan panggilan tanpa had, serta data percuma 2GB setiap hari selama satu tahun).

    Buat pelanggan yang memilih Digi Postpaid 60 untuk Rebat RM180 bagi Pelan Pascabayar, RM15 akan direbat dari bil mereka selama 12 bulan (RM15 x 12 bulan = rebat RM180). Selain hanya membayar RM45 sebulan untuk data internet berkelajuan tinggi sebanyak 25GB dan panggilan tanpa had, pelanggan juga akan menerima data tambahan 2GB setiap hari selama satu tahun. Layari laman web Digi untuk maklumat lanjut tentang pakej ini.

    Laporan daripada Opensignal mengatakan rangkaian Digi menyediakan kelajuan muat turun (download speed experience) yang paling laju dan stabil berbanding syarikat telekomunikasi lain, jadi kelebihan ini pasti diimpikan oleh mereka yang kerap berkongsi fail besar di kalangan rakan sekerja. Selain itu, Digi juga memberikan kualiti penstriman video terbaik, membuatkan pengalaman tontonan filem anda tidak banyak terganggu.

    Kesimpulan – Setiap telko ada tarikannya sendiri

    Keempat-empat syarikat telekomunikasi menawarkan pakej Jaringan Prihatin yang menarik dengan tarikan tersendiri. Jika anda ingin memfokuskan pada telefon percuma, Celcom menawarkan pakej yang menarik kerana dengan hanya pelan RM28 sebulan dan rebat sehingga RM360, anda boleh memilih telefon percuma yang biasanya dijual pada harga RM1,000 ke bawah.

    Akan tetapi jika anda inginkan iPhone XR, Maxis adalah satu-satunya pilihan anda. Pelanggan yang inginkan pakej semurah mungkin boleh rujuk pada tawaran oleh U Mobile, manakala untuk peminat Samsung Galaxy A02 atau mereka yang inginkan telefon pada harga diskaun boleh lihat pada pakej Digi.

    Jika dilihat pada laporan Opensignal pula, setiap syarikat telekomunikasi mempunyai faedah yang unik daripada segi rangkaian. Pelanggan Celcom boleh menikmati rangkaian yang paling luas dalam negara berbanding syarikat telko lain, manakala mereka yang kerap membuat panggilan dalam internet akan memilih U Mobile untuk mendapatkan mutu audio dan suara yang paling jelas.

    Beritahu kami di Facebook pakej telko manakah yang anda akan pilih dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    CelcomDigi tawarkan internet 1TB pada harga RM15 dan banyak lagi promosi sempena Hari Gaji...

    Seperti biasa, syarikat telekomunikasi CelcomDigi menawarkan promosi Hari Gaji Specials pada hujung bulan dan untuk kali ini ia akan berlangsung daripada hari...

    HONOR Band 9 dilancar di Malaysia: Jam tangan pintar dengan skrin AMOLED 1.57″ berharga...

    HONOR Malaysia telah melancarkan jam tangan pintar terbaru iaitu HONOR Band 9. Ia menampilkan skrin AMOLED berukuran 1.57 inci dengan kadar segar...

    Acer Malaysia lancarkan desktop, monitor dwi-paparan dan projektor bermula RM1,699

    Acer Malaysia hari ini melancarkan barisan komputer desktop, monitor dwi-paparan mudah alih dan sebuah projektor yang direka untuk meningkatkan kelancaran alir kerja...

    HONOR Pad 9 5G dilancar di Malaysia: Tablet 12.1 inci dengan skrin 2.5K bermula...

    HONOR Malaysia telah melancarkan tabletnya yang terbaru iaitu HONOR Pad 9 5G. Sebagai tablet kelas pertengahan, ia dilengkapi skrin berukuran 12.1 inci...

    HONOR MagicBook X 16 2024 rasmi di Malaysia dengan Intel i5-12450H, skrin 16″ berharga...

    Selain telefon pintar dan tablet, komputer riba HONOR MagicBook X 16 2024 juga dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Ia dilengkapi dengan pemproses Intel...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured