fbpx
More

    Pandangan Pertama Samsung Galaxy A34 5G: Telefon Galaxy A dengan rekaan Galaxy S23

    Siri telefon pintar kelas pertengahan Samsung Galaxy A merupakan siri telefon yang paling laris di seluruh dunia kerana harganya yang berpatutan dan spesifikasi lengkap untuk kegunaan harian. Kini Samsung telah melancarkan varian terbaru untuk model Galaxy 3- untuk tahun 2023 iaitu Samsung Galaxy A34 5G, jadi ayuh kita lihat apa yang menarik pada telefon ini.

    Reka bentuk – Macam Galaxy S23

    Sebelum ini, telefon Galaxy A selalunya nampak lebih murah daripada siri telefon premium Galaxy S bagi menunjukkan perbezaan harga Galaxy A yang selalunya lebih rendah. Sungguh pun begitu, untuk Galaxy A34 5G, rekaannya sangat serupa dengan Samsung Galaxy S23 terutamanya apabila dilihat pada bahagian kamera dan bucunya. 

    Tidak seperti Galaxy A33 pada tahun lepas, Galaxy A34 5G tidak mempunyai bonggol kamera yang jelas di bahagian belakang telefon. Sebaliknya, ia hanya mempunyai tiga bonggolan kecil untuk setiap lensa kamera dan ini adalah rekaan yang sama dengan Galaxy S23 serta Galaxy S23+. Bonggolan lensa ini tidak tebal, jadi anda boleh letakkan Galaxy A34 5G di atas meja dengan rata.

    Rekaan belakang Galaxy A34 5G
    Tiada bonggol kamera tebal, sekadar bonggolan lensa yang nipis sahaja
    Bahagian bucu dan sisi yang melengkung untuk genggaman selesa

    Selain itu. Ia mempunyai bucu yang melengkung di semua sudut, membuatkannya lebih selesa pada tapak tangan apabila dipegang. Ini juga adalah ciri Galaxy A34 5G yang sama dengan Galaxy S23, jadi jika anda berminat dengan Galaxy S23 namun tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya, anda boleh beli sahaja Galaxy A34 5G dan beritahu rakan-rakan anda ini sebenarnya adalah Galaxy S23, saya yakin mereka tidak akan mengetahuinya.

    Di bahagian hadapan pula, Galaxy A34 5G mempunyai skrin berukuran 6.6 inci, sama dengan ukuran skrin Galaxy S23+. Menariknya, skrin Galaxy A34 5G adalah lebih besar daripada Galaxy A54 5G walaupun dengan harga Galaxy A34 5G yang lebih murah. Jadi jika anda inginkan telefon Galaxy A dengan skrin yang besar, Galaxy A34 5G adalah pilihan yang paling sesuai.

    Skrin – Cantik dengan kadar 120Hz

    Galaxy A34 5G mempunyai skrin Super AMOLED dengan resolusi FullHD+, jadi warna pada video dan gambar akan nampak terang dan pekat, manakala resolusi FullHD+ membenarkan sebarang imej untuk dihasilkan dengan butiran yang jelas.

    Selain itu, Samsung telah meningkatkan kadar segar semula daripada 90Hz dalam Galaxy A33 pada tahun lepas kepada 120Hz dalam Galaxy A34, untuk animasi yang lebih jelas pada skrin. Sungguh pun begitu, kadar yang lebih tinggi ini mungkin bermaksud ia akan menggunakan lebih banyak kapasiti bateri berbanding Galaxy A33, namun saya tidak dapat mengujinya dalam masa beberapa hari saya menggunakannya.

    Skrin Galaxy A34 5G menempatkan kamera swafoto dalam takuk berbentuk titisan air

    Sempadan bezel di sekeliling skrin boleh dianggap nipis untuk telefon kelas pertengahan, namun satu perkara yang anda perlu ketahui adalah kamera swafotonya berada dalam takuk (notch) berbentuk titisan air di bahagian tengah atas skrin. 

    Pada pendapat saya, rekaan takuk ini agak ketinggalan zaman untuk telefon yang dilancar pada 2023 kerana kebanyakan telefon sudah beralih kepada lubang tebuk (punch hole) untuk kamera swafoto. Namun memandangkan Galaxy A34 5G ini dijual pada harga yang berpatutan, mungkin ia bukanlah sesuatu yang diambil kisah oleh para pelanggan.

    Kamera – Sangat cantik, walaupun pada waktu malam

    Samsung Galaxy A34 5G dilengkapi kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 5MP di belakang, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 13MP. Walaupun jumlah megapiksel dalam sensornya lebih rendah sedikit berbanding Galaxy A54 5G, kamera Galaxy A34 5G masih berkemampuan tinggi untuk mengambil gambar cantik dalam semua situasi. Sepanjang saya menggunakan telefon ini selama beberapa hari, saya berpuas hati dengan kualiti gambar yang dihasilkan.

    Dalam situasi cahaya terang, Galaxy A34 5G mengambil gambar yang sangat cantik dalam mod auto, mod ultra-lebar dan mod makro. Warnanya mungkin agak pekat jika dibandingkan dengan telefon jenama lain, namun ia tidaklah keterlaluan dan masih nampak cantik untuk dimuat naik ke dalam media sosial atau aplikasi pemesejan.

    Untuk gambar pada waktu malam pula, saya berpuas hati dengan kualiti gambar yang dihasilkan. Gambar Night Mode tidak mempunyai banyak noise, walaupun dalam situasi di mana sumber cahaya adalah sangat sedikit. Sungguh pun begitu, gambar Night Mode ultra-lebar nampak kabur, jadi saya tidak menggalakkan anda untuk gunakannya.

    Kualiti video juga nampak cantik, namun anda hanya boleh merakam video pada resolusi 1080p dengan kadar bingkai 60fps sahaja. Satu fungsi kegemaran saya ialah penstabilan Super Steady yang berfungsi dengan sangat bagus. Walaupun saya rekod video sambil berlari, kamera Galaxy A34 5G masih boleh hasilkan video yang sangat stabil, selagi anda merakam dalam suasana cerah.

    Samsung Galaxy A34 5G akan dilancar di Malaysia tidak lama lagi. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon menarik ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    KWSP bakal umumkan Akaun 3 pada hari ini sebagai Akaun Fleksibel

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X