Permintaan lebar jalur Internet di Malaysia terus melonjak dengan Malaysia Internet Exchange (MyIX) merekodkan kemuncak 1.9 terabait sesaat (Tbps) pada Disember tahun lepas yang mewakili lonjakan lebih tiga kali ganda daripada 588 gigabait sesaat yang didedahkan pada Mei 2020.
Pengerusi MyIX, Chiew Kok Hin berkata rekod kemuncak di MyIX menunjukkan bahawa internet dan ekonomi digital sangat penting dalam gaya hidup dan budaya kerja Malaysia serta permintaan akan terus meningkat memandangkan strategi Digital Malaysia terus memacu peluang dalam ekonomi digital bagi menyokong pelan pemulihan negara.
Chiew memuji kerajaan Malaysia atas usaha dalam menjadikan ekonomi digital sebagai enjin pertumbuhan strategik untuk negara. Menurut Malaysia Digital Economy Corporation, ekonomi digital menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan ini dijangka meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.
Chiew berkata MyIX menantikan lebih banyak dasar mesra pelabur untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau. Cadangan termasuk pengembalian semula dasar pengecualian kabotaj bagi kapal asing untuk menjalankan pembaikan kabel dasar laut.
Hal ini kerana pelbagai syarikat multinasional asing telah melabur dengan banyak dalam kabel dasar laut yang menghubungkan Malaysia ke bahagian lain di dunia. Cadangan lain termasuk pengecualian untuk syarikat telekomunikasi dan pusat data mengenai potensi kenaikan tarif elektrik bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing ke negara ini.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA






