Perodua mendedahkan pengecas AC wallbox baharu untuk model elektrik sulungnya, QV-E, yang dijangka tiba hujung tahun ini. Menurut sumber, ia hadir dengan ciri lebih maju berbanding pengecas rumah biasa selaras usaha Perodua membina ekosistem EV menyeluruh.
Wallbox ini menyokong pengecasan AC sehingga 7 kW dengan rekaan dua tona kayu dan hitam serta skrin sentuh 6.0 inci sebagai paparan utama. Ia turut dilengkapi kamera CCTV 5MP untuk pemantauan masa nyata melalui aplikasi, selain lampu jalur menegak dan pencahayaan ambien bagi menunjukkan status pengecasan.


Pengecas ini dihubungkan dengan aplikasi super P-Circle yang membolehkan pengguna menjadualkan pengecasan, memantau penggunaan dari jauh dan memberikan akses kepada beberapa pengguna. Untuk keselamatan dan ketahanan, unit ini mempunyai penarafan IP55 serta menyokong akses kad atau kata laluan.
Sebagai sebahagian daripada ekosistem EV, Perodua turut mempamerkan P-Charge Mobile iaitu power-bank mudah alih 184 kWh yang boleh memberikan pengecasan DC sehingga 60 kW sebagai penyelesaian tambahan untuk infrastruktur awam. Tiada tarikh pelancaran rasmi, tetapi sumber menjangkakan ia boleh tiba seawal akhir November.

Kehadiran wallbox ini dijangka memudahkan pengecasan rumah dan menawarkan penggunaan EV yang lebih pintar kepada pengguna Malaysia. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: PaulTan.org






