Dua agensi penguatkuasaan negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), akan meningkatkan usaha dalam menjejak mana-mana orang yang memiliki, menyimpan dan mengedar bahan lucah serta bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (child sexual abuse materials, CSAM).
Dalam operasi yang digelar Op Pedo ini, kedua-dua agensi akan mengenal pasti sebarang pihak yang melakukan jenayah berkenaan, sama ada secara individu atau penglibatan sindiket. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini digesa untuk hubungi PDRM bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM pada Isnin lalu telah menahan 13 lelaki kerana disyaki terlibat dalam penyebaran bahan CSAM secara dalam talian. Ia dilaksanakan dalam operasi bersepadu bersama MCMC di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.
Dalam operasi tersebut, pihak polis merampas sekitar 40,000 bahan CSAM dan pornografi dewasa, serta tujuh komputer, 11 telefon bimbit, sembilan penghala (router), tujuh modem, cakera video digital dan cakera keras.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA







