Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengatakan permohonan bantuan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia untuk golongan B40 boleh dilakukan bermula hari Jumaat, 15 April 2022. Seramai lebih 400,000 pelajar seluruh negara bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bakal menerima bantuan pakej peranti tersebut.
Para pelajar yang membuat permohonan akan menerima peranti mereka di tempat pembelajaran mereka. Buat golongan pelajar yang berada di rumah dan mengamalkan pengajian jarak jauh (PJJ), mereka boleh membuat permohonan secara dalam talian namun mereka perlu berdaftar dengan universiti menggunakan nombor matrik mereka.
Perlu diingati bahawa tablet-tablet PerantiSiswa adalah hak milik kerajaan dan ia perlu dipulangkan kepada universiti atau kolej selepas para penerima tablet menamatkan pengajian mereka. Beliau mengatakan ini adalah berdasarkan konsep penggunaan secara percuma sahaja dan ia tidak diberikan terus kepada pelajar.
Pemohon dijangka akan menerima peranti mereka bermula minggu kedua Jun 2022. Tan Sri Annuar Musa menjamin bahawa produk ini bukanlah berkualiti rendah dan sebaliknya diambil daripada jenama terbaik dalam pasaran.
Ia akan diagihkan dalam dua sesi, di mana sesi pertama melibatkan kira-kira 60 peratus daripada jumlah keseluruhan penerima manakala sesi kedua melibatkan kes-kes rayuan tetapi tidak lewat 60 hari selepas sesi pertama. Mereka yang menyerahkan data peribadi lengkap akan diberi keutamaan dalam sesi pertama.
Beritahu kami di Facebook jika anda akan memohon pakej bantuan peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA







