HONOR mengesahkan bakal memperkenalkan barisan peranti AI generasi baharu sempena acara Mobile World Congress 2026 di Barcelona pada 1 Mac 2026 sebagai sebahagian daripada pelaksanaan strategi HONOR ALPHA PLAN yang memfokuskan integrasi ekosistem peranti dan kecerdasan buatan (AI).
Pelancaran global tersebut dijadual berlangsung pada jam 8 malam waktu Malaysia dan akan menampilkan beberapa produk utama termasuk konsep telefon pintar berasaskan AI dikenali sebagai HONOR Robot Phone yang memberi gambaran awal kepada masa depan interaksi mudah alih berasaskan AI.

Pada masa sama, HONOR turut dijangka melancarkan HONOR Magic V6 sebagai telefon boleh lipat generasi baharu dengan penambahbaikan daripada segi ketahanan, kapasiti bateri dan reka bentuk yang lebih nipis bagi mengukuhkan kedudukannya dalam segmen telefon lipat.
Selain itu, HONOR akan memperkenalkan tablet mercu HONOR MagicPad 4 yang memfokuskan produktiviti kreatif berprestasi tinggi dan komputer riba ultra nipis HONOR MagicBook Pro 14 yang mengintegrasikan keupayaan AI untuk meningkatkan prestasi pemprosesan serta kecekapan tenaga.
Selepas acara pelancaran, semua peranti akan dipamerkan kepada umum di lokasi pameran Fira de Barcelona Gran Via bermula 2 hingga 5 Mac 2026. Pelancaran turut mencerminkan hala tuju HONOR untuk memperluaskan ekosistem AI menyeluruh yang menggabungkan perkakasan, perisian dan inovasi robotik sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang dalam era agentic AI.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






